Tuesday, August 5, 2008

JAWATAN ADALAH SATU AMANAH...

Pertama sekali ucapan terima kasih saya ucapkan kepada blog husin lempoyang yang memberikan gambaran akan hasrat saya untuk bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia Disember nanti. Tentang siapa saya, cara saya berpolitik, niat dan keikhlasan saya, agenda dan arah tuju saya biarlah saya rencanakan seadanya.

Dalam dunia demokrasi, era cyber, zaman di mana maklumat bebas diperolehi hanya dengan menekan hujung jari, saya tiada upaya untuk menghalang apa jua pandangan masyarakat terhadap saya. Inilah risiko bagi individu sejak hari pertama apabila mengisytiharkan diri untuk terjun ke dunia politik.

Sekurang-kurangnya, setelah tsunami politik PRU ke-12, yang mengakibatkan suasan gawat dalam UMNO, ditambah pelbagai kemelut yang dihadapi negara, tidak dapat tidak, UMNO sebagai antara parti Melayu yang sudah lama berbakti untuk negara harus dipulihkan. UMNO tidak bersalah, yang berdosa pembudayaan ahli-ahlinya. UMNO bukanlah harta pusaka, atau harta yang boleh difaraidkan untuk memenuhi kepentingan aristokrat, atau hakmilik peribadi dua tiga kerat orang semata-mata.

Tidak ada makna bercakap tentang demokrasi jika suara akar umbi tidak dipeduli. Apa maknanya naik jadi pemimpin jika menggunakan elemen rasuah dan pengaruh kaum kerabat sebagai naungannya. Sebab itu hasrat saya dari awal adalah untuk meletakkan kembali UMNO pada haknya. Melibatkan kembali penyertaan ramai dalam proses pembuat keputusan, bukan segala-galanya 'saya sokong' dengan nasib 3.2 juta ahli ditentukan oleh keputusan 40 orang ahli MKT. Demikian juga pemuda, harus dikembalikan fungsi asalnya, sebagai 'kumpulan pendesak' agar kepentingan Melayu, Islam dan hak rakyat Malaysia seluruhnya lebih terbela. Bukan menjadi satu kelab eksklusif, kelab orang-orang kaya, tempat berseronok dan bercengkarama sesama anggota Puteri UMNO. Pemuda harus melihat dimensi yang lebih luas, bagaimana gejala sosial remaja kini, nasib pengganguran lepasan IPTA, kumpulan belia yang makin merempit dan nasib pemuda luar bandar yang tercicir dalam pelbagai bidang.

Sebab itu jika dikatakan hasrat saya untuk bertanding, kerana mudah berubah pendirian setelah tidak mendapat layanan atau apa-apa projek dari pihak atasan, itu adalah satu tuduhan yang harus saya terima sebagai sebahagian cabaran yang harus ditempuh untuk menjadi pemimpin yang matang. Ketidaktetapan pendirian saya yang dikatakan menyokong orang itu, orang ini sekadar mendapat habuan akan turut saya jadikan sebagai satu peringatan, agar politik yang saya amalkan dan perjuangkan lebih berprinsip, bermoral dan kukuh istiqamahnya. Apa yang penting, misi, agenda dan plan induk perancangan untuk pemuda UMNO dan seluruh belia serta beliawanis di Malaysia sudah dirangkakan. Selain itu, ia akan disusuli agenda memperkukuh pemuda Melayu Islam. Insya-Allah, kalau sudah ditakdirkan rezeki saya menang jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, itulah yang menjadi asas tindakan dan gerakan saya. Semoga saya terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t untuk memikul amanah ini. Terima kasih di atas nasihat dan komen rakan-rakan seperjuangan.

Ikhlas

ZAHIDI ZAINUL ABIDIN

5 comments:

Anonymous said...

Syabas....DZZA teruskan usaha murni untuk memartabatkan perjuangan UMNO pada haknya.....Tahniah!

Angin Timur said...

Assalamualaikum w.b.h.

Politik bukanlah satu bidang kekuatan umat Melayu masa kini. Dalam mana mana dunia di mana umat Melayu menguasai politik di dapati mereka amat suka berpecah belah dan bersengketa. Ia bermula di kampung kampung hinggalah ke bandar bandar. Bila kekuatan politik lemah maka penguasaan dalam bidang lain secara amnya akan menjadi lemah. Selepas merdeka, kelemahan kuasa melayu telah secara terang terangan ditunjukkan dengan bersetuju menerima bangsa asing sebagai warga negara. Rentetan dari itu, Singapura telah terlepas dari tangan umat Melayu beberapa tahun selepas itu. Penguasaan Melayu bertambah lemah dan buktinya kita melihat Pulau Pinang dan bandar bandar utama gagal dikuasai oleh umat Melayu. Kita hilang Batu Puteh akibat 'tandatangan' Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor pada masa itu yang 'tidak sangka' bahawa tandatangan itu sangat laku pada masa depan.
Oleh yang demikian, ingin di peringatkan jangan lah terlalu mudah wahai pemimpin pemimpin dari bangsa ku untuk tandatangan sesuatu dokumen yang penting. Geran tanah 999 tahun di Perak dan isu lain yang timbul akan sedikit sebanyak menyedarkan kita bahawa kepintaran dan kecerdikan orang lain akan meninggalkan kita umat melayu di belakang. Tak kanlah umat melayu di takdirkan untuk menjadi mangsa dan sentiasa perlu berkorban sepanjang masa?
Jika UMNO sebagai tunjang orang Melayu, cukup pintarkah UMNO untuk meluaskan penguasaan Melayu dalam pelbagai bidang? Jika dilihat pada mata kasar, UMNO semakin lemah.. kenapa? Adakah faktor Pak Lah, Khairy,.. dan isu kepimpinan.?

Sebenarnya UMNO semakin lemah kerana kita sudah jauh dari agaman kita makin jauh dari 'root' Melayu. Kita selembut bayu bila berdepan dengan orang lain dan menjadi taufan bila bertembung sesama Melayu! Kita memusnahkan sesama kita tanpa belas ehsan, berebut jawatan dan kuasa yang tidaklah sekuat mana pun. Dan jawatan serta kuasa yang kita ada itu tidak sedikit pun menggerunkan orang lain.

Maka untuk membina semula keyakinan dan keupayaan bangsa, mulakanlah dengan perpaduan. Seandainya Yang Berbahagia Datuk Zahidi ingin menawarkan diri sebagai Ketua Pemuda UMNO ( satu jawatan penting umat melayu ) saya menyokong seandainya Datuk Zahidi, Dato' Seri Khir dan Datuk Mukhriz duduk semeja dan bergerak sebagai satu ketumbukan tentera yang kuat mewakili utara, tengah dan selatan untuk berjuang demi umat melayu. Jika dirasakan Khairy nampaknya tidak sesuai sebagai bakal pemimpin untuk umat melayu pada masa depan, maka adalah menjadi kewajipan ketumbukan tentera melayu inilah untuk merempuh beliau dan sekutunya supaya masalah 'masa depan' dapat diselesaikan pada hari ini juga..

Anonymous said...

Di, ....

Hang dah berubah ka?

Cuba hang bersumpah dalam blog hang ni dgn kata2 "Wallahi, Watallahi, Wabillahi, Aku aktif berpolitik hanya demi Agamaku, Bangsaku dan juga Negaraku. Matlamat peribadi bukan agenda utamaku. Aku rela dilaknat Allah di dunia ini sekiranya aku berbohong dgn sumpahku ini."

AKU CABAR HANG DI KALAU HANG BETOI2 IKHLAS ......!

Anonymous said...

Datuk, tak payah la dok layan sorang ni entah-entah orang2 kuat mantan menteri yang tak dilantik semula tu kot...asyik2 dok suruh orang bersumpah....lain la kalau mufti perlis yang suruh....dia ada juga hujah bersandarkan hukum syarak..ni tiba2 saja nak suruh bersumpah...Datuk...kalau ini tekad Datuk untuk memberikan yang terbaik,buktkanlah...muhasabah diri agar tiada orang yang macam ni terus mempertikai setiap kata dan tingkah Datuk selepas ini..saya mohon mencadangkan...
tq!

Anonymous said...

Ada juga hamba Allah macam nie... tut-tut suruh orang bersumpah. Suruhlah dia bersumpah dulu, layakkah dia menjadi hamba Allah dimuka bumi ini jika sentiasa mempunyai prasangka buruk yang tidak bertempat. Geli-geleman dgn budak yg sesat nie, mungkin talibarut kuda-kuda tua umno, kut.... Berapa duit hang dapat woi.