Pertama sekali ucapan terima kasih saya ucapkan kepada blog husin lempoyang yang memberikan gambaran akan hasrat saya untuk bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia Disember nanti. Tentang siapa saya, cara saya berpolitik, niat dan keikhlasan saya, agenda dan arah tuju saya biarlah saya rencanakan seadanya.
Dalam dunia demokrasi, era cyber, zaman di mana maklumat bebas diperolehi hanya dengan menekan hujung jari, saya tiada upaya untuk menghalang apa jua pandangan masyarakat terhadap saya. Inilah risiko bagi individu sejak hari pertama apabila mengisytiharkan diri untuk terjun ke dunia politik.
Sekurang-kurangnya, setelah tsunami politik PRU ke-12, yang mengakibatkan suasan gawat dalam UMNO, ditambah pelbagai kemelut yang dihadapi negara, tidak dapat tidak, UMNO sebagai antara parti Melayu yang sudah lama berbakti untuk negara harus dipulihkan. UMNO tidak bersalah, yang berdosa pembudayaan ahli-ahlinya. UMNO bukanlah harta pusaka, atau harta yang boleh difaraidkan untuk memenuhi kepentingan aristokrat, atau hakmilik peribadi dua tiga kerat orang semata-mata.
Tidak ada makna bercakap tentang demokrasi jika suara akar umbi tidak dipeduli. Apa maknanya naik jadi pemimpin jika menggunakan elemen rasuah dan pengaruh kaum kerabat sebagai naungannya. Sebab itu hasrat saya dari awal adalah untuk meletakkan kembali UMNO pada haknya. Melibatkan kembali penyertaan ramai dalam proses pembuat keputusan, bukan segala-galanya 'saya sokong' dengan nasib 3.2 juta ahli ditentukan oleh keputusan 40 orang ahli MKT. Demikian juga pemuda, harus dikembalikan fungsi asalnya, sebagai 'kumpulan pendesak' agar kepentingan Melayu, Islam dan hak rakyat Malaysia seluruhnya lebih terbela. Bukan menjadi satu kelab eksklusif, kelab orang-orang kaya, tempat berseronok dan bercengkarama sesama anggota Puteri UMNO. Pemuda harus melihat dimensi yang lebih luas, bagaimana gejala sosial remaja kini, nasib pengganguran lepasan IPTA, kumpulan belia yang makin merempit dan nasib pemuda luar bandar yang tercicir dalam pelbagai bidang.
Sebab itu jika dikatakan hasrat saya untuk bertanding, kerana mudah berubah pendirian setelah tidak mendapat layanan atau apa-apa projek dari pihak atasan, itu adalah satu tuduhan yang harus saya terima sebagai sebahagian cabaran yang harus ditempuh untuk menjadi pemimpin yang matang. Ketidaktetapan pendirian saya yang dikatakan menyokong orang itu, orang ini sekadar mendapat habuan akan turut saya jadikan sebagai satu peringatan, agar politik yang saya amalkan dan perjuangkan lebih berprinsip, bermoral dan kukuh istiqamahnya. Apa yang penting, misi, agenda dan plan induk perancangan untuk pemuda UMNO dan seluruh belia serta beliawanis di Malaysia sudah dirangkakan. Selain itu, ia akan disusuli agenda memperkukuh pemuda Melayu Islam. Insya-Allah, kalau sudah ditakdirkan rezeki saya menang jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, itulah yang menjadi asas tindakan dan gerakan saya. Semoga saya terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t untuk memikul amanah ini. Terima kasih di atas nasihat dan komen rakan-rakan seperjuangan.
Ikhlas
ZAHIDI ZAINUL ABIDIN