Monday, July 21, 2008

HARI RAYA UMNO DATANG LAGI

Aidulfitri untuk umat Islam jika tiada aral melintang bakal disambut hujung September 2008. Namun bagi UMNO, bermula 17 Julai yang lalu, Mesyuarat peringkat Cawangan sudahpun dilestarikan dan dijangka selesai pada pertengahan Ogos nanti. Kemeriahan pasti lebih terasa, memandangkan tahun 2008, adalah tahun pemilihan dari peringkat akar umbi sehinggalah ke MKT. Pelbagai usul, pencalonan, hasrat untuk bertanding, strategi kempen akan menjadi antara tarikan utama. Persoalan seperti siapa mencalonkan siapa?, tokoh mana yang akan bertanding?, berapa banyak yang perlu dibelanjakan, calon ini berada dalam kem mana, semuanya menjadi isu yang tidak akan habis didebatkan. Baik di kedai kopi, rumah kenduri, di kala menziarahi kematian, di coffee-house dan di mana sahaja.

Apa sekalipun Hari Raya bagi UMNO yang disambut tiga tahun sekali ini, harus dilihat dari perspektif yang positif. Wujudnya pertandingan bermakna amalan demokrasi terlaksana, cuma suasana kempen itu yang penting didisplinkan. Dengan pertandingan, idea, daya fikir, strategi ahli UMNO akan kembali bercambah, kegiatan politik makin aktif setelah agak lesu khususnya di Negeri-negeri 5 plus 1 selepas tewas teruk dalam PRU ke-12 yang lalu.

Bagi yang bertanding, silaturahim bersama kawan rakan yang dekat dan jauh akan kembali dirapatkan, pengembaraan calon pula akan jauh merentasi dari Perlis hingga ke Sabah, barangkali inilah sebabnya kenapa 'wang untuk berpolitik' di perlukan (bukannya "politik wang"), buat belanja makan, minum, minyak kereta (kos pasti bertambah kerana naiknya harga minyak) dan tambang kapal terbang. Inilah uniknya UMNO, barangkali juga suasana pertandingan kali ini akan membawa lebih banyak limpahan rezeki dan kemakmuran, biar ada 'spill -over dari sudut ekonomi. Ini memandangkan setakat ini sahaja untuk calon Naib Presiden UMNO sahaja sudah 16 calon yang menawarkan diri. Kita tunggu siapa pula calon ke 17, 18 dan seterusnya.Walaubagaimana sekalipun segalanya terpulang kepada pencalonan. Jika cukup kuota, maka bolehlah bertanding, jika tidak hasrat tidak kesampaian.

Selamat bersidang untuk seluruh teman dan sahabat dalam UMNO, semoga mesyuarat kali ini lebih mematang dan mendewasakan kita untuk kembali pulih dan kuat.

No comments: