Tuesday, June 3, 2008

UMUM BERTANDING KETUA PEMUDA

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin akan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan parti Disember ini. Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar, ketika mengumumkannya semalam berkata ia bukan atas kehendak peribadi, sebaliknya berdasarkan permintaan penyokong parti terutama peringkat akar umbi.

Malah, beliau mendakwa menerima desakan daripada Umno Perlis untuk menyahut cabaran berkenaan, sekali gus mewakili suara muda Umno wilayah utara pada peringkat nasional. Ramai ahli UMNO Perlis terutama peringkat akar umbi mahu beliau bertanding. Alasannya, mereka mahukan Zahidi sebagai pemimpin muda wilayah utara mengembalikan semula suara rakyat terutama dari Perlis ke peringkat nasional.

Sehingga kini, beliau tidak berdepan sebarang masalah kerana mendapat sokongan penuh Badan Perhubungan UMNO Perlis. Apa pun, beliau serahkan kepada ahli UMNO untuk putuskan.

Zahidi yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Perlis adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri selama dua penggal bermula 1999. Beliau digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu. Setakat ini Zahidi dan Mukhriz menawarkan diri secara terbuka untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno selepas Datuk Seri Hishammuddin Hussein memutuskan tidak mempertahankan jawatan dalam pemilihan akan datang.

Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo serta Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor disebut-sebut bakal bertanding merebut jawatan itu.

Sementara itu, Zahidi berkata Badan Perhubungan Umno negeri Perlis menggesa ahli serta kepimpinan parti di semua empat negeri wilayah utara bangkit berjuang memperkukuhkan kubu masing-masing, sekali gus mengelak daripada terus dilanda kemelut penghakisan kepemimpinan pada peringkat Kabinet.

Katanya, Umno di empat negeri wilayah utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak utara, kini masing-masing dilanda kemelut penghakisan kepemimpinan pada peringkat Kabinet terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12 iaitu pada 8 Mac lalu. Malah, beliau berkata jika diambil kira, UMNO di dua daripada empat negeri anggotanya iaitu Perlis dan Kedah, kini tidak mempunyai wakil untuk menyuarakan hasrat pengundi masing-masing pada peringkat Kabinet, kecuali Pulau Pinang.

Untuk rekod UMNO Perlis, Kedah dan Perak masing-masing tidak mempunyai wakil pada peringkat Kabinet kecuali Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharom yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara Pulau Pinang pula diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Justeru, Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar, berkata atas kesedaran itu Badan Perhubungan UMNO Perlis mengambil inisiatif menganjurkan Konvensyen UMNO Wilayah Utara yang dijangka berlangsung Julai depan, bagi membincangkan isu berkenaan secara terperinci.

Selain penghakisan kepemimpinan UMNO wilayah utara pada peringkat Kabinet, katanya konvensyen berkenaan antara lain akan turut menjadi landasan khusus membincangkan pelbagai perkara lain berhubung parti di empat negeri anggotanya.

5 comments:

Mohd Shamsuddin Damin said...

Assallammualaikum Datuk,

Kesediaan Datuk untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tentunya untuk MNO berkhidmatkepada dan untuk mmeningkatkan lagi peranan Pergerakan Pemuda UMNO dalam usaha berkhidmat dan menangi hati orang Melayu serta rakyat Malaysia seperti yang Datuk selalu nyatakan. Selamat berjuang dan mendapat kejayaan untuk semua.

Untuk berita-berita dari akar umbi sila kunjungi www.teras-umno.com

pemuda umno kuala kedah said...

dato zahidi, kat negeri kedah ni, dato tak nak sebarang pencalunan atau undi ke

Anonymous said...

Syabas dan tahniah di atas kesungguhan Datuk dalam menawarkan diri bagi mewakili suara akar umbi peringkat pemuda khususnya untuk bahagian utara semenanjung. Saya berpendapat Datuk amat sesuai memegang jawatan tersebut kerana Datuk sememangnya hadir dari peringkat akar umbi dan memahami keluhan peringkat bahawan

dinleter said...

Selamat datang ke alam cyber. Tahniah kerana Dato telah menjadi seorang lagi 'blogger', medium blog wacana baru untuk generasi baru.

Wassalam,
DR. SOBRI SUDIN

perfectwater said...

Saya amat yakin dengan potensi DZZA dalam hal ini kerana andainya suara akar umbi UMNO mahu satu kepimpinan yang ada kredibiliti maka mereka nyata akan membuat pilihan terbaik untuk menyokong DZZA. Cuma DZZA kena lebih rajin turun menjelajah seluruh negara...Kalau takdir DZZA menjadi KP maka usah diulangi gerak lemah gemalai yang ditarikan oleh KP semasa....ingat asal usul....dan buat yang terbaik...Thanks!