Saturday, July 26, 2008

MALAYSIA: JUARA BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2018...

Wawasan 2020, bakal menjengah lebih kurang 12 tahun lagi. Pada tahun berkenaan Malaysia dijangka muncul sebagai negara maju mengikut acuan dan budayanya sendiri. Kemajuan yang tidaklah ditiru berdasarkan model Barat, namun bangkit hasil kekuatan setempat. 2020 diharapkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara bangsa makin jelas, isu-isu remeh yang melibatkan faham perkauman akan dipinggirkan, asas agama menjadi pegangan terbaik selain kebejatan masalah sosial dapat diatasi. Kita juga mengharapkan konsep kemajuan pada tahun berkenaan tidaklah terbatas dari sudut benda, material dan ekonomi semata-mata. Akan tetapi rakyat mendapat agihan sama rata, pertumbuhan ekonomi memberangsangkan, prinsip keadilan di mana meletakkan sesuatu pada tempatnya dan yang berhak menikmati pulangannya akan menjadi mercu tanda utama pentadbiran negara.

Lantaran itulah bagi menjamin wujudnya semangat kekitaan yang tinggi dikalangan masyarakat majmuk, perasaan bangga dan sayang akan negara berdaulat ini, medium sukan khususnya sukan popular dunia seperti bolasepak boleh digunakan. Pencapaian dan mutu bola sepak negara yang jauh merudum kini, wajar dipulihkan. Pelbagai masalah yang timbul semenjak pengenalan Liga-Super dengan lambakan pemain import bertaraf klas ketiga, isu gaji dan kebajikan pemain, rasuah bola sepak, kurangnya kehadiran penonton adalah rencah dan realiti yang menyulitkan kemajuan dan pencapaian bola sepak negara.

Di sebalik usaha bersungguh FAM melakukan pelbagai pembaharuan namun jika akar umbi pembangunan dan falsafah kemajuan bola sepak itu tidak ditangani, maka selama itulah pasukan kebangsaan akan menjadi mangsa belasahan pasukan hatta dari kalangan negara jiran.

Rakyat sering mengimbau nostalgia era 70-an dan awal 80-an, zaman keagungan di mana pasukan bola sepak negara berada pada kedudukan nombor wahid mengatasi Jepun dan Korea Selatan, dua buah negara yang kini menjadi pasukan tetap di dalam siri Pertandingan Piala Dunia. Zaman di mana kemudahan serba berkurangan, pemain tidak pun bertaraf profesional, namun kebesaran jiwa dan kekuatan semangat diiringi bakat semulajadi telah menjadi sumber kekuatan pasukan kebangsaan. Rakyat merindui zaman emas itu, namun kita tidak boleh selalu bernostalgia tanpa berbuat sesuatu apa pun, jangan mati kerana
angan-angan, sebaliknya berangan-anganlah agar apa yang kita mahukan mencapai kejayaan.

Mokhtar Dahari, Syed Ahmad, Ghani Minhat, R. Arummugam, Soh Chin Aun, Santokh Singh, R. Rajagopal, James Wong, Hassan Sani, Bakri Ibni, Shukor Salleh, sebut sahaja nama-nama terhebat di masa itu sudah mampu menggamit kehendak rakyat untuk kembali menyaksikan kebangkitan pasukan negara. Saksinya adalah Stadium Merdeka, di mana saban tahun apabila Pesta Bola Merdeka diadakan, pasukan negara adalah juaranya, dengan mentaliti permainan klas dunia. Namun kini Pesta Bola Merdeka hanya disertai pasukan klas ketiga serta sekadar mengisi jadual acara sempena sambutan kemerdekaan itupun sudah jarang diadakan.

Seperkara yang menarik barisan pemain yang mewakili negara adalah cerminan realiti komposisi penduduk negara. Ada Melayu. Cina, India, Serani, barangkali selepas ini harus dibentuk satu dasar agar dimasukkan dan dicari bakat serta kelibat pemain suku puak Iban, Kadazan, Bidayu, Melanau, dan orang Asli. Biar dengan gabungan ini diiringi bakat hebat, latihan sistematik ,pemakanan saintifik, pendedahan latihan meluas, pasukan Malaysia akan bangkit semula untuk digeruni. Komposisi pemain era 70-an dan 80 an juga , zaman gemilang bola sepak negara juga mencerminkan keserataan wilayah, dari Perlis menganjur ke Sabah, semuanya ada. Barangkali juga harus digubal satu polisi agar setiap negeri melakukan usaha pencarian bakat mengemukakan dua pemain terbaik, untuk dihantar menyertai pasukan kebangsaan.

Lantaran itulah disarankan untuk membentuk semangat kekitaan dan dalam usaha negara menuju negara maju, kelibat pertandingan Piala Dunia 2018 harus menjadi impian, bukan sekadar layak tetapi sekurang-kurangnya menjejakkan kaki ke pertandingan akhir, mengatasi pencapaian Korea utara pada tahun 1966 dan Korea selatan pada 2002 yang melangkah ke separuh akhir.

Tampak pandangan ini boleh diketawakan, tetapi bukan mustahil untuk dikotakan. Usaha harus bermula dengan reformasi struktur dan prosedur. YAB Timbalan Perdana Menteri disaran mengetuai projek khas ini, supaya komitmen kepimpinan lebih terserlah. Rakyat Malaysia diseru menyumbang pada kadar RM1 setiap seorang, dengan akhirnya jumlah terkumpul RM27 JUTA(Berdasarkan jumlah penduduk) dan kerajaan akan membayar 'matching grant' bagi sumbangan, ini bermakna jumlah keseluruahnya akan mencecah RM54 juta. Satu angka yang cukup untuk melatih, menyediakan serta menghimpunkan bakat pemain seluruh negara bermula dari tahun ini. Ini bermaksud mulai tahun ini sehingga 2018 jumlah biaya bagi tujuan penyediaan skud kebangsaan ke Piala dunia 2018 ialah RM5.4 juta setahun. Lebih berbaloi dari penganjuran Piala CYC dan perbelanjaan lain yang tidak kemana arah tujuannya.

Pemain yang perlu dicari dan digilap harus dipilih oleh satu Jawatankuasa Teknikal yang terdiri dari barisan kejurulatihan tempatan yang telah membuktikan keunggulan mereka membimbing pasukan negeri dan tenaga muda. Nama-nama seperti Mohd Azrai Khor, Irfan Bakti, Dollah salleh, Irfan Bakti, Azuan zain dan ramai lagi jurulatih berkaliber wajar digerakkan untuk keseluruh pelusuk negara, sepertimana kaedah yang digunakan oleh My-Team, cuma bezanya kriteria pemilihan lebih rigid dan ketat.

Sasaran umur pemain ialah mereka yang berumur antara 15-18 tahun pada 2008. Agar pada tahun 2018 nanti dengan usia mereka yang menjangkau secara puratanya, 25 ke 28 dikira sudah matang, masih gagah dan bertenaga, pantas, energetik untuk membawa cabaran negara dalam kancah perlawanan bola sepak berprestasi tinggi. Jumlah pemain yang harus dikumpulkan dan yang terbaik dari setiap negeri seidealnya ialah 30 orang(meliputi Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya dan 13 buah negeri dalam Persekutuan Malaysia).

Setiap pemain mengikut posisi dari barisan penjaga gol sehingga Penyerang akan dilatih khusus menggunakan pendekatan dan tonik ajaib yang telah mengangkat nama-nama pemain tersohor era gemilang Malaysia dahulu. Sebagai contoh bagi pemain pertahanan akan dilatih khusus oleh Dato' Sokh Chin Aun dan Santokh Singh, pemain tengah dilatih oleh Shukor Salleh dan Bakri Ibni, pemain yang bakal mengambil tendangan sudut akan ditunjuk ajar oleh pakarnya yakni Abdullah Ali.

Ketua Jurulatih induk negara carilah barisan jurulatih terbaik dunia. Selain itu, seeloknya barisan pemain yang dikumpul ini tidak diganggu atau diambil oleh mana-mana pasukan negeri memandangkan mereka terlibat dengan projek khas negara, Tumpuan penyertaan pertandingan, ialah kejohanan di luar negara. Banyakkan 'industrial attachment' pemain-pemain ini dengan kelab luar, lebihkan perlawanan persahabatan dengan pasukan bertaraf dunia, Semaikan semangat keyakinan, persediaan saikologi, kemahiran taktikal ,kekuatan jatidiri dan moral terbaik untuk setiap pemain. Sebagai contoh bagi pemain beragama Islam pastikan mereka tidak akan mengabaikan solat lima waktu, kerana kita mahu kalangan pemain ini akhirnya bukan sahaja membanggakan negara malah menjadi ikon bangsa dan agama, tanda kejayaan membentuk modal insan terbaik negara.

Masukkan segala elemen saintifik meliputi soal sains pemakanan, kesihatan dan pembangunan fizikal, intelektual, supaya mereka ini bukan sekadar bermain menggunakan kaki, tetapi menggabungkan kekuatan minda dan falsafah bola sepak yang murni sepertimana kejayaan Zinadine Zidane yang digelar Profesor Bola sepak. Ajar pemain-pemain ini supaya tidak ego, bongkak atau merasa diri mereka terlalu glamour. Terapkan bahawa mereka membawa misi negara, harapan rakyat, harapan bangsa, agama dan negara. Insya-Allah jika langkah praktikal ini dapat dijayakan dan mendapat sokongan semua pihak, tidak mustahil Malaysia akan muncul sebagai Negara Islam pertama dan negara dari benua Asia nombor wahid yang mampu menjuarai Piala Dunia 2018. Sama-samalah kita berdoa dan berusaha agar impian menjadi kenyataan.

No comments: