Tuesday, July 29, 2008

SPIL OVER DAN SPIN OVER

Rakyat makin celaru, akar umbi tak keruan, mana satu yang betul mana satu yang tidak. Spin over yang dilakukan dalam media arus perdana dan kenyataan Pak Menteri menyatakan ekonomi dan politik kita stabil, terurus dan terjaga. Namun hakikatnya rakyat makin susah, berkecamuk. Apatah lagi Ramadhan bakal menjelang tiba disusuli hari raya bagi orang Melayu beragama Islam. Harga barang makin naik, pendapatan makin susut. Pembuangan kerja terus bertambah, kadar jenayah meningkat, kos hidup mencanak, demonstrasi merata-mara. Isu politik makin gawat, prestasi ekonomi angkanya diubah-ubah. Sekejap KDNK 6%, sekejap 5% dan diwaktu lain tinggal 4.5%. Yang bercakap itu semunya pakar termasuk Gabenor Bank Negara. Inflasi dikatakan 6%, bank-bank tempatan mengunjurkan 8%, realiti yang ditanggung rakyat ada setengah barangan inflasinya mencecah sehingga 20%.

Formula apa yang digunapakai oleh ahli teori ekonomi. Saya berpandangan, cabaran sebenar adalah menyelesai isu pokok dan kemelut sebenar yang dihadapi rakyat. Apakah langkah praktikal yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat akibat krisis harga minyak dan inflasi?. Apakah segala dasar-dasar ekonomi yang diumumkan hanya retorik, cantik di permukaan tetapi kesan 'spil over' tidak diterima rakyat?. Apa sudah jadi dengan pelaksanaan RMK-9?. Kemana wang subsidi minyak yang dijimatkan?. Sudah dipulangkan kembali kepada rakyat atau belum?.Bagaimana pula dengan pengumuman berbilion ringgit projek raksasa pembangunan Koridor?. Adakah sekadar merasmikan ladang jagung, atau pusat benih pertanian dikatakan Koridor Pembangunan Wilayah utara sebagai contoh sudah terlaksana sepenuhnya?.

Cukup-cukuplan 'spin over' dari media arus perdana. Fakta dan relaiti ekonomi sebenar dan kesannya ditanggung oleh rakyat. Rakyat makin susah, ekonomi makin meleset, penghidupan makin muram, bukalah mata wahai pak Menteri, ini bukan zaman berjanji dan berkata yang indah-indah. Ini zaman membantu rakyat yang susah...

Sunday, July 27, 2008

UMNO, FARAID DAN PUSAKA

Melihat tren kompromi dan peralihan kuasa yang berlaku sama ada diperingkat pimpinan atasan mahupun di peringkat Bahagian sememangnya cukup menarik. Pak Lah telah mengumumkan tarikh Jun 2010 sebagai tempoh untuk menyerahkan baton kepada Dato' Najib. Di beberapa bahagian UMNO yang sempat saya ikuti pengumuman telah dibuat misalnya di Padang Terap, Pasir Putih, Jerai, Gopeng dan Temerloh. Isunya apakah dari segi Perlembagaan membenarkan jawatan dalam UMNO difaraid atau dipusakakan. Bagi calon yang menarik diri dan tidak mahu bertanding lagi selesailah masalahnya. Bagaimana pula dengan kompromi antara Ketua, Timbalan dan Naib Ketua?. Bukankah elok jika dipulangkan hak memilih dan mencalon kepada Cawangan dan pimpinan akar umbi?. Apa pandangan rakan-rakan?.

Saturday, July 26, 2008

MALAYSIA: JUARA BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2018...

Wawasan 2020, bakal menjengah lebih kurang 12 tahun lagi. Pada tahun berkenaan Malaysia dijangka muncul sebagai negara maju mengikut acuan dan budayanya sendiri. Kemajuan yang tidaklah ditiru berdasarkan model Barat, namun bangkit hasil kekuatan setempat. 2020 diharapkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara bangsa makin jelas, isu-isu remeh yang melibatkan faham perkauman akan dipinggirkan, asas agama menjadi pegangan terbaik selain kebejatan masalah sosial dapat diatasi. Kita juga mengharapkan konsep kemajuan pada tahun berkenaan tidaklah terbatas dari sudut benda, material dan ekonomi semata-mata. Akan tetapi rakyat mendapat agihan sama rata, pertumbuhan ekonomi memberangsangkan, prinsip keadilan di mana meletakkan sesuatu pada tempatnya dan yang berhak menikmati pulangannya akan menjadi mercu tanda utama pentadbiran negara.

Lantaran itulah bagi menjamin wujudnya semangat kekitaan yang tinggi dikalangan masyarakat majmuk, perasaan bangga dan sayang akan negara berdaulat ini, medium sukan khususnya sukan popular dunia seperti bolasepak boleh digunakan. Pencapaian dan mutu bola sepak negara yang jauh merudum kini, wajar dipulihkan. Pelbagai masalah yang timbul semenjak pengenalan Liga-Super dengan lambakan pemain import bertaraf klas ketiga, isu gaji dan kebajikan pemain, rasuah bola sepak, kurangnya kehadiran penonton adalah rencah dan realiti yang menyulitkan kemajuan dan pencapaian bola sepak negara.

Di sebalik usaha bersungguh FAM melakukan pelbagai pembaharuan namun jika akar umbi pembangunan dan falsafah kemajuan bola sepak itu tidak ditangani, maka selama itulah pasukan kebangsaan akan menjadi mangsa belasahan pasukan hatta dari kalangan negara jiran.

Rakyat sering mengimbau nostalgia era 70-an dan awal 80-an, zaman keagungan di mana pasukan bola sepak negara berada pada kedudukan nombor wahid mengatasi Jepun dan Korea Selatan, dua buah negara yang kini menjadi pasukan tetap di dalam siri Pertandingan Piala Dunia. Zaman di mana kemudahan serba berkurangan, pemain tidak pun bertaraf profesional, namun kebesaran jiwa dan kekuatan semangat diiringi bakat semulajadi telah menjadi sumber kekuatan pasukan kebangsaan. Rakyat merindui zaman emas itu, namun kita tidak boleh selalu bernostalgia tanpa berbuat sesuatu apa pun, jangan mati kerana
angan-angan, sebaliknya berangan-anganlah agar apa yang kita mahukan mencapai kejayaan.

Mokhtar Dahari, Syed Ahmad, Ghani Minhat, R. Arummugam, Soh Chin Aun, Santokh Singh, R. Rajagopal, James Wong, Hassan Sani, Bakri Ibni, Shukor Salleh, sebut sahaja nama-nama terhebat di masa itu sudah mampu menggamit kehendak rakyat untuk kembali menyaksikan kebangkitan pasukan negara. Saksinya adalah Stadium Merdeka, di mana saban tahun apabila Pesta Bola Merdeka diadakan, pasukan negara adalah juaranya, dengan mentaliti permainan klas dunia. Namun kini Pesta Bola Merdeka hanya disertai pasukan klas ketiga serta sekadar mengisi jadual acara sempena sambutan kemerdekaan itupun sudah jarang diadakan.

Seperkara yang menarik barisan pemain yang mewakili negara adalah cerminan realiti komposisi penduduk negara. Ada Melayu. Cina, India, Serani, barangkali selepas ini harus dibentuk satu dasar agar dimasukkan dan dicari bakat serta kelibat pemain suku puak Iban, Kadazan, Bidayu, Melanau, dan orang Asli. Biar dengan gabungan ini diiringi bakat hebat, latihan sistematik ,pemakanan saintifik, pendedahan latihan meluas, pasukan Malaysia akan bangkit semula untuk digeruni. Komposisi pemain era 70-an dan 80 an juga , zaman gemilang bola sepak negara juga mencerminkan keserataan wilayah, dari Perlis menganjur ke Sabah, semuanya ada. Barangkali juga harus digubal satu polisi agar setiap negeri melakukan usaha pencarian bakat mengemukakan dua pemain terbaik, untuk dihantar menyertai pasukan kebangsaan.

Lantaran itulah disarankan untuk membentuk semangat kekitaan dan dalam usaha negara menuju negara maju, kelibat pertandingan Piala Dunia 2018 harus menjadi impian, bukan sekadar layak tetapi sekurang-kurangnya menjejakkan kaki ke pertandingan akhir, mengatasi pencapaian Korea utara pada tahun 1966 dan Korea selatan pada 2002 yang melangkah ke separuh akhir.

Tampak pandangan ini boleh diketawakan, tetapi bukan mustahil untuk dikotakan. Usaha harus bermula dengan reformasi struktur dan prosedur. YAB Timbalan Perdana Menteri disaran mengetuai projek khas ini, supaya komitmen kepimpinan lebih terserlah. Rakyat Malaysia diseru menyumbang pada kadar RM1 setiap seorang, dengan akhirnya jumlah terkumpul RM27 JUTA(Berdasarkan jumlah penduduk) dan kerajaan akan membayar 'matching grant' bagi sumbangan, ini bermakna jumlah keseluruahnya akan mencecah RM54 juta. Satu angka yang cukup untuk melatih, menyediakan serta menghimpunkan bakat pemain seluruh negara bermula dari tahun ini. Ini bermaksud mulai tahun ini sehingga 2018 jumlah biaya bagi tujuan penyediaan skud kebangsaan ke Piala dunia 2018 ialah RM5.4 juta setahun. Lebih berbaloi dari penganjuran Piala CYC dan perbelanjaan lain yang tidak kemana arah tujuannya.

Pemain yang perlu dicari dan digilap harus dipilih oleh satu Jawatankuasa Teknikal yang terdiri dari barisan kejurulatihan tempatan yang telah membuktikan keunggulan mereka membimbing pasukan negeri dan tenaga muda. Nama-nama seperti Mohd Azrai Khor, Irfan Bakti, Dollah salleh, Irfan Bakti, Azuan zain dan ramai lagi jurulatih berkaliber wajar digerakkan untuk keseluruh pelusuk negara, sepertimana kaedah yang digunakan oleh My-Team, cuma bezanya kriteria pemilihan lebih rigid dan ketat.

Sasaran umur pemain ialah mereka yang berumur antara 15-18 tahun pada 2008. Agar pada tahun 2018 nanti dengan usia mereka yang menjangkau secara puratanya, 25 ke 28 dikira sudah matang, masih gagah dan bertenaga, pantas, energetik untuk membawa cabaran negara dalam kancah perlawanan bola sepak berprestasi tinggi. Jumlah pemain yang harus dikumpulkan dan yang terbaik dari setiap negeri seidealnya ialah 30 orang(meliputi Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya dan 13 buah negeri dalam Persekutuan Malaysia).

Setiap pemain mengikut posisi dari barisan penjaga gol sehingga Penyerang akan dilatih khusus menggunakan pendekatan dan tonik ajaib yang telah mengangkat nama-nama pemain tersohor era gemilang Malaysia dahulu. Sebagai contoh bagi pemain pertahanan akan dilatih khusus oleh Dato' Sokh Chin Aun dan Santokh Singh, pemain tengah dilatih oleh Shukor Salleh dan Bakri Ibni, pemain yang bakal mengambil tendangan sudut akan ditunjuk ajar oleh pakarnya yakni Abdullah Ali.

Ketua Jurulatih induk negara carilah barisan jurulatih terbaik dunia. Selain itu, seeloknya barisan pemain yang dikumpul ini tidak diganggu atau diambil oleh mana-mana pasukan negeri memandangkan mereka terlibat dengan projek khas negara, Tumpuan penyertaan pertandingan, ialah kejohanan di luar negara. Banyakkan 'industrial attachment' pemain-pemain ini dengan kelab luar, lebihkan perlawanan persahabatan dengan pasukan bertaraf dunia, Semaikan semangat keyakinan, persediaan saikologi, kemahiran taktikal ,kekuatan jatidiri dan moral terbaik untuk setiap pemain. Sebagai contoh bagi pemain beragama Islam pastikan mereka tidak akan mengabaikan solat lima waktu, kerana kita mahu kalangan pemain ini akhirnya bukan sahaja membanggakan negara malah menjadi ikon bangsa dan agama, tanda kejayaan membentuk modal insan terbaik negara.

Masukkan segala elemen saintifik meliputi soal sains pemakanan, kesihatan dan pembangunan fizikal, intelektual, supaya mereka ini bukan sekadar bermain menggunakan kaki, tetapi menggabungkan kekuatan minda dan falsafah bola sepak yang murni sepertimana kejayaan Zinadine Zidane yang digelar Profesor Bola sepak. Ajar pemain-pemain ini supaya tidak ego, bongkak atau merasa diri mereka terlalu glamour. Terapkan bahawa mereka membawa misi negara, harapan rakyat, harapan bangsa, agama dan negara. Insya-Allah jika langkah praktikal ini dapat dijayakan dan mendapat sokongan semua pihak, tidak mustahil Malaysia akan muncul sebagai Negara Islam pertama dan negara dari benua Asia nombor wahid yang mampu menjuarai Piala Dunia 2018. Sama-samalah kita berdoa dan berusaha agar impian menjadi kenyataan.

Friday, July 25, 2008

CERITERA MELAYU

Belum pun habis kes liwat dan tuduh menuduh antara Brother Anwar bin Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari bin Azlan, kini timbul pula kes saman fitnah Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara. Sebelumnya Tan Sri Musa dan Tan Sri Ghani Patail, dua pemegang jawatan utama sektor awam (JUSA), dikaitkan dengan kes pemalsuan laporan. Minggu yang lalu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresyen beserta pegawai tinggi Jabatan berkenaan juga ditahan atas tuduhan rasuah berkaitan 'calling visa' dan VOA (Visa on Arrival). Episod terbaru menunjukkan dua orang individu Melayu yang menyamar sebagai Dato' memalsukan dokumen kastam dan permit import kereta (AP) bagi membawa masuk puluhan kereta mewah ke negara ini. Pengarah Bahagian Lanskap Perbadanan Putrajaya juga seorang Dato' berbangsa Melayu, turut dituduh rasuah hanya kerana meminta sekeping tiket pergi balik ke London atas anugerah projek lanskap yang diberikan olehnya kepada seorang kontraktor

Di Pantai Timur pula, negeri kedua termiskin heboh tentang pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.4 juta untuk kegunaan Exco. Alasan diberikan MB nya kereta nasional(Perdana V6 Executive) mahal untuk diselenggara. Buktinya dua kali diselenggara menelan belanja RM50,000. Saya sendiri tidak tahu yang diselenggara itu jet eksekutif atau Perdana Executive, sebab saya juga dahulunya pernah menggunakan kereta rasmi berkenaan semasa menjadi Exco Perlis. Kejadian dan sorotan yang berlaku membayangkan sikap sebenar Melayu. Tipikalnya amalan feudal dalam jiwa orang Melayu. apakah Melayu suka menfitnah, mengata orang?, Kenapa begitu mudah Melayu menerima rasuah sedangkan perlakuan tersebut adalah dosa besar di sisi Islam?. Kenapa Melayu suka bermewah dan menunjuk-nunjuk bila naik sebagai pemimpin?.

Marilah kita cari Melayu berjiwa pejuang, bukannya Melayu bersikap curang. Marilah kita cari Melayu yang kuat istiqamahnya, bukan Melayu yang lemah imannya.

Thursday, July 24, 2008

MUZAKARAH PEMIMPIN MELAYU

Usaha awalan melibatkan muzakarah UMNO dan PAS memang baik. Isunya, kenapa hanya melibatkan UMNO dan PAS. Muzakarah harus jauh merentasi politik kepartian dan kepentingan yang sempit. Sepatutnya agenda utama jika mahu diselesaikan ialah kemelut ekonomi, agenda pendidikan, nasib dan masa depan generasi muda, pentadbiran dan politik negara. Bagi membolehkan persoalan ini dibincang dengan hati terbuka dan lebih berkesan ialah dengan membuka pintu bagi muafakat dan muzakarah antara pimpinan utama Melayu. Libatkanlah Tun Dr. Mahathir Mohamad, TG Nik Aziz Nik Mat, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Pak Lah, Dato' Seri Najib dan Pengerusi Muzakarahnya dibimbing oleh KBDYMM Raja Dr. Nazrin Shah. Muzakarah pemimpin Melayu ini juga harus disaksikan oleh ulama dan ilmuan Islam supaya nasihat dari sudut agama dapat diberikan. Berilah laluan kepada penglibatan SS Dato' Mohd Asri Zainol Abidin, Dato'Dr Harun Din dan Dato' Harunsani Zakaria. Insya-allah agenda Melayu/Islam sebagai sumber penting kestabilan negara mampu dirumuskan menerusi satu resolusi khusus di akhir muzakarah ini. Apa komen dan pandangan rakan-rakan?.

MUZAKARAH UNTUK APA

Heboh apabila Pak Lah mengakui sudah tiga kali pimpinan tertinggi PAS menemui beliau bagi membincangkan hal berkaitan nasib bangsa Melayu dan agama Islam. Pandangan Mursyidul Am PAS pula, Tok Guru Nik Aziz terang-terangan tidak bersetuju kerana peristiwa hampir 20 tahun lalu apabila PAS disingkirkan dari BN. Isu dan perkiraan pentingnya apa tujuan muzakarah? apakah benar untuk kepentingan Melayu Islam?. Kenapa dalam tempoh kini baru dibangkitkan soal muzakarah?. Ataupun pertemuan berkenaan atas kapasiti seorang Perdana Menteri dengan rakyatnya, berbual bicara isu-isu semasa, ataupun benar-benar serius membincangkan tentang masa depan Melayu dan Islam di negara ini?. Biarlah muzakarah ini jika pun benar berlaku dan akan dimuktamadkan mengenepikan ideologi politik parti. Fokuskan kepada perkara-perkara 'maudhuk' yang ada hubung kait dengan kepentingan Melayu Islam seperti isu biasiswanya, hak Bumiputera dan Melayu ke atas UiTM, isu kontrak sosial yang makin diperlekehkan oleh kaum lain, kesucian agama, dan pembelaan untuk Islam dan umat Melayu. Maka muzakarah sebegini pastilah diberi rahmat dan mendapat berkat dari Allah s.w.t.

Monday, July 21, 2008

HARI RAYA UMNO DATANG LAGI

Aidulfitri untuk umat Islam jika tiada aral melintang bakal disambut hujung September 2008. Namun bagi UMNO, bermula 17 Julai yang lalu, Mesyuarat peringkat Cawangan sudahpun dilestarikan dan dijangka selesai pada pertengahan Ogos nanti. Kemeriahan pasti lebih terasa, memandangkan tahun 2008, adalah tahun pemilihan dari peringkat akar umbi sehinggalah ke MKT. Pelbagai usul, pencalonan, hasrat untuk bertanding, strategi kempen akan menjadi antara tarikan utama. Persoalan seperti siapa mencalonkan siapa?, tokoh mana yang akan bertanding?, berapa banyak yang perlu dibelanjakan, calon ini berada dalam kem mana, semuanya menjadi isu yang tidak akan habis didebatkan. Baik di kedai kopi, rumah kenduri, di kala menziarahi kematian, di coffee-house dan di mana sahaja.

Apa sekalipun Hari Raya bagi UMNO yang disambut tiga tahun sekali ini, harus dilihat dari perspektif yang positif. Wujudnya pertandingan bermakna amalan demokrasi terlaksana, cuma suasana kempen itu yang penting didisplinkan. Dengan pertandingan, idea, daya fikir, strategi ahli UMNO akan kembali bercambah, kegiatan politik makin aktif setelah agak lesu khususnya di Negeri-negeri 5 plus 1 selepas tewas teruk dalam PRU ke-12 yang lalu.

Bagi yang bertanding, silaturahim bersama kawan rakan yang dekat dan jauh akan kembali dirapatkan, pengembaraan calon pula akan jauh merentasi dari Perlis hingga ke Sabah, barangkali inilah sebabnya kenapa 'wang untuk berpolitik' di perlukan (bukannya "politik wang"), buat belanja makan, minum, minyak kereta (kos pasti bertambah kerana naiknya harga minyak) dan tambang kapal terbang. Inilah uniknya UMNO, barangkali juga suasana pertandingan kali ini akan membawa lebih banyak limpahan rezeki dan kemakmuran, biar ada 'spill -over dari sudut ekonomi. Ini memandangkan setakat ini sahaja untuk calon Naib Presiden UMNO sahaja sudah 16 calon yang menawarkan diri. Kita tunggu siapa pula calon ke 17, 18 dan seterusnya.Walaubagaimana sekalipun segalanya terpulang kepada pencalonan. Jika cukup kuota, maka bolehlah bertanding, jika tidak hasrat tidak kesampaian.

Selamat bersidang untuk seluruh teman dan sahabat dalam UMNO, semoga mesyuarat kali ini lebih mematang dan mendewasakan kita untuk kembali pulih dan kuat.