Saya berpendapat rencana yang saya paparkan ini dipetik dari akhbar Mingguan Malaysia amat menarik perhatian untuk kita semua renungi bersama. Walau pun penulisannya agak panjang namun saya berharap tuan dan puan luangkanlah sedikit masa untuk membaca dan memberi komen untuk rencana ini. Rencana ini ditulis oleh Mufti terkenal di Malaysia iaitu Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 November 2006 menggantikan Datuk Alim Panglima Mat Jahaya Hussin. Beliau akan ditamatkan kontrak lebih awal berkuatkuasa penghujung bulan Oktober ini.
Mohd. Asri yang berkelulusan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Pengajian Hadis dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) merupakan antara mufti termuda di negara ini.
Beliau yang dilahirkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pernah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1427 peringkat negeri Perlis sewaktu berkhidmat sebagai pensyarah Pengajian Islam di USM.
Mohd. Asri yang berkelulusan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Pengajian Hadis dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) merupakan antara mufti termuda di negara ini.
Beliau yang dilahirkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pernah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1427 peringkat negeri Perlis sewaktu berkhidmat sebagai pensyarah Pengajian Islam di USM.
RENCANA
ARKIB : 05/10/2008
Tanggungjawab mencari pengganti yang berwibawa
Membaca surat Abu Bakr al-Siddiq tentang siapakah pengganti selepas kewafatannya sepatutnya membawa seseorang pemerintah insaf bahawa soal mencari pengganti ini adalah perkara besar yang akan mengundang sama ada reda atau murka Allah di akhirat nanti. Ia bukan soal melepaskan bebanan semata.
Jawatan pemerintahan pula, bukanlah harta rampasan perang yang boleh dibahagi-bahagikan begitu sahaja. Abu Bakr al-Siddiq pada penghujung hayatnya, menulis surat mencadangkan penggantinya. Dalam surat tersebut beliau menyatakan seperti berikut: “Bismillah al-Rahman al-Rahim. Inilah apa yang dipesan oleh Abu Bakr bin Abu Quhafah di waktu akhir hayat di dunia ini, sedang keluar darinya, dan permulaan tempoh di Akhirat, sedang masuk ke dalamnya. Di kala seperti ini, seseorang yang kafir akan beriman, seseorang pendusta akan bercakap benar. Maka aku -dalam keadaan begini- melantik pemerintah kamu selepasku ini ‘Umar bin al-Khattab. Maka dengar dan taatlah kepadanya. Aku tidak akan mengurangkan sedikit kebaikan pun buat Allah, rasul-Nya, agama-Nya, diriku dan kamu. Sekiranya ‘Umar berlaku ‘adil, maka itu sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia sebaliknya, maka setiap individu berdasarkan apa yang dikerjakan. Sedangkan aku inginkan kebaikan dan tidak pula aku tahu perkara yang ghaib. “Nanti orang-orang zalim akan mengetahui di mana kesudahan mereka” Wa al-Salam ‘alaikum wa rahmatulLah”. (al-Sayuti, Tarikh al-Khulafa, 32, Beirut: Dar al-Fikr). Surat ini menggambarkan betapa Abu Bakr al-Siddiq membuat cadangan penggantinya atas asas tanggungjawab di hadapan Allah tanpa sebarang kepentingan diri. Beliau juga memikirkan masa depan umat di bawah penggantinya, juga perasaan gerunnya kepada Allah tentang apa yang akan dilakukan oleh penggantinya. Padahal pengganti yang dicadangkan itu ialah insan yang terbaik bagi umat ini selepas dirinya. Pun begitu, ayat amarannya jelas agar keadilan mestilah ditegakkan dan dia memilih pengganti atas keyakinan bahawa penggantinya dapat menjamin pelaksanaan keadilan yang dikehendaki Allah, bukan menjamin kepentingan dirinya atau kelompoknya.
Politik pada zaman pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah agak mencabar. Khalifah terpaksa mencadangkan penggantinya yang dapat memastikan perjalanan kerajaan terus stabil. Walaupun kelihatannya ada unsur meminggirkan suara syura rakyat dalam pemilihan khalifah sehingga menyebabkan jawatan itu diwarisi secara dinasti bagi keturunan Bani Umayyah dan dinasti-dinasti selepas itu juga melakukan hal yang sama. Namun risiko membuka jawatan khalifah untuk dibuat pemilihan terbuka juga adalah besar. Pertarungan merebut jawatan numbor satu dalam sesebuah kerajaan jika tidak dikawal dengan penuh sistematik dan kemas akan menatijahkan ketidakstabilan negara yang tiada kesudahannya. Di samping, kelemahan sistem pewarisan takhta juga jelas. Apatah lagi ia bercanggah dengan ruh Islam. Sementara, membuka peluang syura kepada semua rakyat atau Ahl al-Hal wa al-‘Aqd memerlukan negara yang stabil sistemnya untuk mengawal perjalanan pemilihan agar tidak menimbulkan huru hara. Syura itu untuk kemaslahatan rakyat dan negara. Apabila ia dilaksanakan, hendaklah dipastikan natijahnya membawa kepada kebaikan dan kemaslahatan. Jika hanya membawa kepada kerosakan, seperti jika suara ramai dijadikan ukuran dalam menentukan kepimpinan dalam sesuatu komuniti yang rosak agama dan akhlaknya, kemungkinan besar kesan pemberian hak memilih itu tidak membawa kemaslahatan. Mungkin akan dipilih pemimpin yang buruk nilai agama dan akhlaknya. Suara ramai dihormati, namun jika suara ramai itu mengundang keburukan, maka ia tidak patut diterima pakai.
Keistimewaan
Antara keistimewaan yang Allah kurniakan kepada Kerajaan Bani Umayyah adalah wujud penasihat-penasihat yang terdiri daripada kalangan para ulama yang luas keilmuannya dan tajam serta tangkas pemikirannya. Tokoh yang paling menonjol ialah Rajak bin Haywah. Beliaulah tokoh yang sering mendampingi ‘Umar bin Abd al-‘Aziz dan memberikan pandangan-pandangan yang tangkas, bijak dan diredai Allah dalam bidang politik dan kehidupan. Sulaiman bin ‘Abd al-Malik merupakan khalifah sebelum ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Sebelum Sulaiman meninggal, dia telah meminta nasihat daripada Rajak bin Haywah tentang siapakah yang wajar menjadi penggantinya. Rajak bin Haywah menjawab: “Antara yang dapat memelihara khalifah dalam kuburnya adalah apabila dia melantik orang yang soleh memerintah kaum Muslimin”. Sulaiman sendiri akhirnya mencadangkan seorang yang bukan saudara kandung, juga bukan anaknya tapi sepupunya ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Apabila Sulaiman bertanya pendapat Rajak bin Haywah, jawabnya: “Saya berpendapat dia seorang yang baik, Muslim yang mulia, sukakan kebaikan dan sukakan orang- orang yang baik. Cuma aku bimbang saudara-saudaramu tidak bersetuju dengannya”. Kata Sulaiman: “Nampaknya begitulah”. Lalu Sulaiman bin ‘Abd al-Malik mengambil langkah politik agar cadangan itu mendapat sokongan kaum keluarganya yang mencengkam pemerintah Bani Umayyah ketika itu dengan mencadangkan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz sebagai khalifah, sementara adik Sulaiman iaitu Yazid bin ‘Abd Malik sebagai timbalan (Waliy al-‘Ahd). Dia menulis surat rasminya seperti berikut: “Bismillah al-Rahman al-Rahim, ini surat Sulaiman bin ‘Abd al-Malik untuk ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Aku telah melantiknya menjadi khalifah selepasku, dan selepasnya Yazid bin ‘Abd al-Malik. Kamu semua dengar dan taatlah kepadanya (‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz). Jangan kamu berselisih pendapat nanti musuh-musuh akan bertindak ke atas kamu” (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/207, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Walaupun apa yang dipertikaikan, Sulaiman bin ‘Abd al-Malik tetap berjasa dalam sejarah kerena tindakan berani yang mengenepikan kebiasaan dan melantik calon yang agak jauh menjadi khalifah telah membawa rahmat kepada dunia Islam. ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah menjadi khlaifah yang sangat adil dan soleh. Dalam tempoh dua tahun memerintah, dia telah mencatatkan sejarah pemerintahnya dengan tinta emas bertatah berlian. Sulaiman bin ‘Abd Malik walaupun tidak setanding ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, namun sejarah akan mengenangnya kerana dia yang memberi laluan tersebut kepada khalifah yang adil itu. Ini semua kerana dia menerima nasihat Rajak bin Haywah bahawa melantik pengganti yang soleh merupakan amalan yang dapat memelihara seorang khalifah apabila dia menemui Allah nanti.
Seseorang bapa yang ingin meninggalkan rumahnya akan memastikan isteri atau anaknya boleh diharapkan agar harta benda dan keselamatan rumah terjamin. Rakyat dan negara tentu lebih berharga dari rumah individu dan kemusnahan sebuah negara tentu lebih besar kesannya daripada kemusnahan sebuah rumah. Memastikan agar negara yang diwarisi dalam keadaan sejahtera dan selamat adalah tanggungjawab yang penting. Kemusnahan sesuatu kaum atau masyarakat yang dirahmati Allah adalah disebabkan generasi yang mewarisi bangsa berkenaan menyeleweng dari landasan yang diredai Allah. Allah mengingatkan kita mengenai hal ini dalam al-Quran dengan firman-Nya: (maksudnya) “Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) dalam al-Kitab (Al-Quran) ini tentang (Nabi) Idris; sesungguhnya dia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.Mereka itulah sebahagian daripada Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat kepada mereka daripada keturunan (Nabi) Adam, dan dari keturunan mereka yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama (Nabi) Nuh, dan daripada keturunan (Nabi) Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil (Nabi Ya‘kub)- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis. Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun”. (Surah Maryam, ayat 56-60).
Dua asas
Seperti yang sering saya sebutkan, dalam Siyasah Syar‘iyyah (Politik Islami) dua asas penting diambil kira dalam memberikan amanah atau tugasan khususnya politik kepada seseorang individu. Asas itu adalah al-Quwwah dan al-Amanah atau Kemampuan dan Amanah. Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar‘iyyah fi Islah al-Ra‘iy wa al-Ra‘iyyah: “Hendak dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Ini seperti yang Allah firmankan (maksudnya0: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26) Kata Raja Mesir kepada Yusuf a.s :(maksudnya:“Sesungguhnya kamu hari ini menjadi orang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai (Surah Yusuf: 54). Firman Allah dalam menyifatkan Jibril: (maksudnya) “Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai ‘arsy, yang ditaati lagi dipercayai (Surah al-Takwir ayat 19-21). Katanya Ibn Taimiyyah lagi: “Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai-bagai jenis peperangan...al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia. Inilah tiga ciri amanah yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia, firman Allah: (maksudnya): “Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Barang siapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir (Surah al-Maidah: ayat 44)".
Krisis kepimpinan dalam masyarakat umat Islam hari ini adalah berpunca kerana ada pihak-pihak yang hanya menumpukan di sudut al-Quwwah iaitu kemampuan atau kewibawaan atau karismatik seseorang tokoh dalam politik, tetapi melupakan sudut amanah yang membabit mengenai pegangan agama atau kesolehan seseorang pemimpin. Sehingga akhirnya, ada yang memiliki kemampuan kepimpinan politik, tetapi kontang dari nilai-nilai takwa sehingga mudah terjerumus ke dalam kancah penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Sementara, ada pihak yang lain begitu memberikan perhatian kepada soal kekuatan pegangan agama sehingga mengabaikan soal kemampuan dalam kepimpinan politik. Ini juga menyebabkan ramai orang yang atas kepercayaan orang ramai tentang pegangan agama mereka lalu diberikan jawatan politik, akhirnya mereka gagal menguruskannya. Bukan kerana tidak amanah, atau tidak takutkan Allah, tetapi kerana tidak mempunyai ciri al-Quwwah atau kemampuan dalam menguruskan kepimpinan yang diamanahkan kepadanya. Sebab itu Rasulullah SAW tidak memberikan jawatan kepada sahabaT-sahabat yang tidak berkemampuan sekalipun dia seorang yang soleh. Seperti sabda baginda kepada Abu Zar r.a.: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).Dalam riwayat al-Imam Muslim yang lain Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim”. Walaupun Abu Zar terkenal baik dan soleh, namun itu belum cukup untuk melayakkannya memimpin.
Tanggungjawab rakyat dan kepimpinan yang memiliki kuasa untuk memastikan bahawa jawatan yang menentukan hala tuju masyarakat dan umat itu tidak akan jatuh melainkan ke tangan mereka yang benar-benar layak. Jangan jatuh ke tangan yang berkemampuan dan wibawa, tapi tidak amanah. Jangan juga jatuh ke tangan yang amanah, tapi tidak berkemampuan melaksanakan bebanan tugas.
5 comments:
Datuk, saya amat kagum dengan pemikiran dan keberanian mufti muda dari Perlis ini.. Cuma rasa agak sedih bila kontraknya akan ditamatkan lebih awal dari yang sepatutnya.. Saya rasa org2 perlis pasti akan merasai kehilangan Mufti mereka yang disangjung oleh seluruh rakyat Malaysia atas keberanian mencadang yang benar kepada seluruh umat Islam diMalaysia.. Saya harap kerajaan negeri Perlis dapat berbuat sesuatu dalam hal ini.. Moga kita semua dirahmati ALlah atas segala usaha kita..
selalunya, para ulama yang berpegang kepada mazhab golongan salaf akan sentiasa ditindas.
Assalamualaikum w.b.h.
Dato Mufti Kerajaan Perlis sebenarnya bakal menyambung atau menambah ilmu kedoktorannya bukannya di berhentikan kontraknya.Beliau telah membuat pilihan tersebut tidak lama dahulu. Tempatnya insyaallah akan di gantikan oleh ulamak terkenal iaitu Dato Hassan Din, jika beliau setuju untuk menerima tawaran .
Harap maklum
Salam Datuk,
Apa2 pun kita doakan yang terbaik untuk Dr.Asri....
Ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu yang lain dibukakan.
Tetapi sering kali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup
sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan bagi kita.
carcoon
kalau itu negara punya undang-undang yang mana mencuri saja,kalau cukup bukti,cukup saksi,mesti potong dia punya tangan,boleh laa kita cari pemimpin yang jujur,yang ikhlas,yang tak makan suap..,ini negara kena cari pemimpin yang boleh pusing-pusing,yang boleh kona-kona,yang boleh bawa perwakilan pergi makan angin ke hatyai,ke medan,ke batam...kalau boleh,kena cari pemimpin macam you punya boss lah...
Post a Comment