Sunday, October 5, 2008

RENCANA

MINGGUAN MALAYSIA (O5 OCT 2008)

Tegakkan perjuangan rakyat

MINGGUAN: Apakah rasional di sebalik keputusan Datuk bertanding jawatan Ketua Pemuda?

ZAHIDI: Saya menawarkan diri untuk bertanding kerana melihat sokongan generasi muda terutama daripada kalangan pemuda Melayu kepada UMNO dan BN semakin berkurangan. Antara sebab-sebabnya pertama, berlakunya perbezaan pendapat antara bekas Perdana Menteri dengan Perdana Menteri sehingga membawa kepada kritikan-kritikan terhadap Perdana Menteri yang menjejaskan UMNO.

Akibatnya dalam pilihan raya umum lalu keyakinan rakyat terutama di kalangan orang Melayu terhadap parti itu terjejas. Untuk menyelesaikan perkara ini ia harus dilakukan melalui Pemuda UMNO.

MINGGUAN: Tetapi mungkin ada yang beranggapan Datuk tidak layak bertanding kerana berada di luar lingkungan Pemuda?

ZAHIDI: Tidak, saya daripada Pemuda juga. Saya berada empat penggal dalam kepimpinan Pemuda iaitu dua penggal sebagai Naib Ketua Pemuda negeri, satu penggal sebagai Ketua Pemuda Negeri dan satu penggal sebagai Exco Pemuda. Jadi maknanya baru penggal lepas saya meninggalkan Pemuda. Tetapi apabila hari ini saya melihat perjuangan Pemuda gagal menarik sokongan maka saya menawarkan diri. Saya nampak kita perlu melakukan perubahan dalam barisan Pemuda iaitu membawa `tag line’ sebagai perjuangan rakyat. Pemuda hari ini dikatakan berada dalam kelas berbeza. Mereka tidak mewakili semua golongan pemuda. Akhirnya golongan muda memilih parti lain kerana mereka menganggap parti lain itu bekerja menyampaikan suara mereka. Kita lihat sejak kebelakangan ini Pemuda tidak menggambarkan ia sebagai perjuangan rakyat.

Sebagai contohnya, apabila harga barang naik, apa Pemuda buat? Begitu juga dengan pengangguran apa Syarikat Milik Kerajaan (GLC) lakukan? Macam mana Pemuda hendak menyelesaikan masalah itu, begitu juga keluhan-keluhan pemuda di kampung-kampung. Apakah perjuangan kita dalam membela nasib mereka? Begitu juga di peringkat antarabangsa, apa Pemuda lakukan apabila berhadapan dengan isu-isu seperti hubungan dengan Singapura. Dalam perjuangan Islam, apa perjuangan Pemuda dalam soal ini? Semua ini kita tidak nampak dilakukan oleh Pemuda UMNO. Sebagai pemimpin yang berasal daripada grassroot saya hendak menggunakan pengalaman yang dimiliki bagi membela Pemuda dan saya yakin melalui cara tersebut ia akan dapat menarik kembali sokongan golongan muda.

MINGGUAN: Bolehlah Datuk jelaskan mengenai tag line perjuangan rakyat?

ZAHIDI: Saya ingin membawa Pemuda menjurus kepada perjuangan rakyat iaitu ingin menunjukkan bahawa pergerakan itu membela rakyat. Ketika ini terdapat terlalu banyak isu yang memerlukan Pemuda untuk bertindak, ia termasuklah juga dalam isu-isu yang melibatkan agama Islam. Jika Pemuda tidak memperjuangkan isu-isu seumpama itu, Pemuda akhirnya akan dilihat hanya memikirkan diri dan kelompok mereka sahaja.

Apabila saya menawarkan perjuangan rakyat, saya tidak mahu melihat Pemuda ini lebih tertumpu ke arah material.

MINGGUAN: Tetapi dalam perjuangan UMNO sekarang, orang banyak mengaitkan ia dengan perjuangan yang mementingkan materialistik?

ZAHIDI: Pertama sekali, pemimpin itu sendiri harus memberi contoh. Kalau golongan muda melihat bahawa pemimpin itu boleh menyediakan material kepadanya maka dia akan menyokong pemimpin tersebut maka ini akan menyebabkan pemimpin yang kurang menyediakan material tidak akan mendapat sokongan. Inilah masanya untuk Pemuda membuktikan bagaimana seharusnya mereka perlu melakukan perubahan iaitu daripada Pemuda yang asyik memikirkan soal material kepada Pemuda yang mementingkan perjuangan. Kalau mereka memberikan sokongan kepada perjuangan rakyat maknanya mereka tidak memerlukan material sebaliknya mahukan perubahan. Maka melalui azam itu ia sudah tentu mereka akan memberi peluang kepada saya. Tetapi kalau mereka tidak mahu perubahan dan mahu kekal seperti keadaan sekarang, maka kita terpaksa menerima hakikat bahawa saya tidak layak.

MINGGUAN: Cabaran utama yang sedang menanti bakal Ketua Pemuda UMNO yang baru ialah menarik semula sokongan golongan muda kepada UMNO dan BN, apa agenda Datuk dalam soal ini?

ZAHIDI: Apa yang paling penting, Pemuda ini perlu diserapkan dengan idealisme perjuangan. Kita perlu mengadakan perubahan minda. Kalau mereka yakin kepada idealisme perjuangan kita, mereka pasti akan memberi sokongan. Tetapi sekarang bagaimana mereka hendak memberi sokongan kepada Pemuda apabila mereka melihat kita berada di kelas berbeza dan sukar didekati.

Contohnya, kebanyakan pemimpin Pemuda tidak faham soal kesusahan. Mereka tidak memahami bagaimana ada ahli Pemuda yang menghadapi masalah untuk membeli susu anak atau menyediakan belanja persekolahan anak-anak. Tetapi bagi saya yang datang daripada golongan grassroot, kita merasai perkara itu. Kita memahami Pemuda. Oleh itu kalau kita hendak memperjuangkan nasib semua Pemuda, saya boleh menjadi alternatif.

Selain itu, program-program yang kita buat harus memikirkan mengenai pembelaan kepada Pemuda itu sendiri, contohnya peluang pekerjaan dan keusahawanan yang anggota Pemuda perlu perolehi. Apabila mereka menghadapi masalah bagaimana kita hendak mendengar masalah mereka.

MINGGUAN: Ketika ini sokongan orang Melayu kepada UMNO agak merosot, oleh itu bagaimana kita hendak mengatasi masalah ini?

ZAHIDI: Dari segi mempertahankan hak Melayu, orang ingin melihat bagaimana Pemuda melakukannya tetapi malangnya orang Melayu tidak nampak perkara itu. Begitu juga isu-isu hak keistimewaan orang Melayu seperti pendidikan, peluang pekerjaan dan perniagaan. Oleh itu perjuangan Pemuda harus menampakkan kita membela dan mempertahankan hak orang Melayu.

Begitu juga dalam soal isu agama, bagaimana kita hendak mempertahankannya dengan cara yang baik tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak. Jadi kita kena bijaksana. Bagi saya sendiri kita perlu kembali kepada perjuangan untuk mempertahankan hak orang Melayu dan agama kita. Atas sebab itulah saya katakan bahawa Pemuda tidak harus menjadi medan untuk menunjukkan pengaruh sesiapa.

MINGGUAN: Adakah Datuk bersetuju bahawa Pemuda harus kembali menjadi kumpulan pendesak apabila berhadapan dengan sesuatu isu?

ZAHIDI: Kalau kita lihat sejarah ramai pemimpin Pemuda berjaya dalam perjuangan kerana mereka adalah seorang pejuang dan bukannya dinaungi oleh sesiapa. Jika seseorang calon ketua pemuda itu dinaungi oleh orang-orang tertentu bagaimana Pemuda hendak berjaya. Oleh itu Pemuda harus mempunyai perjuangan sendiri, kalau perlu menjadi pengikut yang setia, kita harus menjadi pengikut yang setia. Tetapi dalam masa yang sama Pemuda juga boleh menjadi pendesak apabila berhadapan dengan isu-isu yang bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh Pemuda.

Apa yang penting mereka membawa satu idealisme perjuangan untuk semua golongan, barulah golongan muda akan merasai bahawa kita membawa satu perjuangan yang perlu mereka sokong. Contohnya, saya pernah menjadi pemimpin pelajar, saya cuba menerap satu perjuangan bagi membela nasib golongan bawahan. Kalau perjuangan kita diterima kita akan terus berjuang, kalau orang tidak terima kita tetap berjuang mengikut cara kita di platform yang diterima. Ertinya, kita tidak akan menyesal kalah atau menang, diterima atau tidak apa yang penting perjuangan yang dibawa harus diteruskan.

MINGGUAN: Sejauh mana Datuk yakin bahawa ‘konsep’ perjuangan yang dibawa akan diterima?

ZAHIDI: Kita tidak harus menjadikan Pemuda sebagai medan untuk membalas jasa mana-mana pihak atau perebutan material. Sebab itulah saya tidak bertanding di peringkat Majlis Tertinggi (MT). Kalau tidak diterima di peringkat Pemuda mungkin satu hari nanti saya akan bertanding di peringkat MT tetapi apa yang saya lihat Pemuda perlu berubah iaitu diserapkan idealisme perjuangan UMNO. Ini jelas apabila dulu kita dapat sokongan sekarang kita tidak mendapat sokongan, oleh itu kita perlu kembali menawarkan khidmat kita.

MINGGUAN: Ada pendapat bahawa Ketua Pemuda tidak perlu memegang jawatan kerajaan bagi membolehkan ia memberi tumpuan kepada tugasnya di peringkat parti?

ZAHIDI: Pandangan seumpama itu tidak betul kerana Ketua Pemuda perlu berada dalam jemaah menteri. Sebab Kabinet adalah satu badan yang paling berkuasa. Jangan melihat apabila seorang Ketua Pemuda berada dalam kerajaan ia lebih banyak berkaitan soal mudah memberi kontrak.

Sebagai contohnya, ketika saya dalam Pemuda dulu kita ada Yayasan Gerak Bakti iaitu yayasan pelaburan am Pemuda. Kenapa ia tidak diwujudkan semula? Ini kerana melalui yayasan tersebut ia akan membantu ramai anggota Pemuda. Satu lagi, apa peranan Pemuda dalam memastikan GLC menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda. Begitu juga dalam bidang usahawan kenapa Pemuda tidak mendesak supaya diwujudkan kuota untuk golongan muda dan kita juga perlu bertanya kenapa dalam soal Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pemuda tidak menggesa supaya Pemuda di peringkat bahagian diberikan kuota untuk menentukan siapa yang harus menerimanya. Kalau semua ini berjaya diperjuangkan oleh Pemuda sudah pasti pergerakan itu dilihat melakukan perjuangan yang menyeluruh.

MINGGUAN: Apa pesanan Datuk kepada ahli Pemuda sebelum mereka menentukan ketua pemuda?

ZAHIDI: Kalau mereka hendakkan satu idealisme yang memperjuangkan nasib semua golongan, mereka haruslah memberi peluang kepada saya. Selain itu jika Pemuda mahukan pergerakan itu kembali mendapat sokongan dan dihormati, mereka perlu memastikan kepimpinannya tidak dikuasai oleh sesuatu golongan sahaja, malah mewakili semua golongan.

Kalau kita mahu dihormati Pemuda itu sendiri perlu berubah bukan hanya memikirkan kepentingan diri tetapi perjuangan masa depan bangsa dan agama.

8 comments:

AhmadRazinHjYob said...

Salam,

Selamat berjuang demi agama , bangsa dan negara. Menjadi pemimpin tidaklah sesukar mana tetapi untuk memimpin adalah satu kerja yang sukar dan memerlukan pengorbanan.

Anonymous said...

Keputusan saudra untuk bertanding merupakan satu langkah yang baik. Ini sebenarnya merupakan satu proses demokrasi yang sedang berkembang dalam UMNO.
Muka muka baru yang bersih dan berani perlu ditonjol dan diketengahkan.
Walaubagaimanapun, saya tidak pasti samada saudara boleh dikatagorikan sebagai 'bersih' atau tidak, hanya Tuhan yang mengetahui. Jika sekiranya saudara benar benar bersih maka saya berdoa agar saudara berjaya. Nmaun jika sekiranya tangan saudara sudah kotor saya mendoakan kejatuhan saudara. Kita di akar umbi yang berjuang sebegitu ikhlas tidak kan membiarkan sesiapa sahaja yang 'kotor' untuk menjadi pemimpin.
Yang teramat penting sekarang ialah KJ MESTI DIJATUHKAN...MESTI DIJATUHKAN demi menyelamat parti UMNO yang kita sayangi. KJ tidak harus dibiarkan bermaharajalela memerintah negara ini. KJ merupakan duri dalam daging kepada UMNO.Keputusan saudara menentang KJ saya anggap sebagai satu jihad.

akartulin

Muhammad Azli Shukri said...

saya link blog Dato' selamat hari raya maaf zahir batin.

Sahabat-Gunung said...

Assalammualaikum.

Tak kisahlah apa pun slogan Dato untuk bertanding Ketua Pemuda, asalkan apa yang Dato lakukan, apa yang Dato' hasratkan biar menjadi kenyataan.

Di mana-manapun, orang mempertikaikan hasrat Dato'. Oleh yang demikian, Dato' kena buktikan apa yang Dato' katakan, Dato' akan lakukan.

Tidak semestinya menang Ketua Pemuda, Dato' kena buktikan.

Hidup Dato' Zahidi.

putra revolusi said...

PABILA WANG BERSABDA

Pabila wang bersabda
hitam menjadi putih
putih menjadi hitam
wang menjadi kuasa
kuasa menjadi wang
wang dan kuasa
kuasa dan wang

Mulut kita boleh bersabda
katakan apa saja
merepeklah apa saja
tapi hanya wang dan kuasa punca sabda
wang menjadi kuasa
kuasa menjadi wang
itu saja
itulah segalanya.

Zahidi Zainul Abidin said...

Salam Perjuangan Rakyat!

Kepada semua yang memberikan komen dan teguran amatlah saya hargai, semoga apa yang diharapkan akan menjadi kenyataan. Insya Allah, saya akan teguh memegang prinsip mempertahankan hak kepada ahlinya.

Kepada Ahmad Razin Hj Yob,
Terima kasih atas nasihat dan sokongan moral saudara. Saya akan ingati pesanan ikhlas saudara.

Kepada Saudara Anonymous,
Apa yang saudara perkatakan tentang keputusan saya untuk bertanding adalah satu yang benar.Kita mempunyai satu matlamat untuk menafikan kemenangan bagi 'insan' yang diragui, jadi harapan saya usah dipersoalkan keihlasan saya untuk bertanding bagi merebut jawatan ini kerana jelas saya telah mengenepikan apa yang disifatkan oleh sesetengah orang sebagai mempunyai kepentingan yang terlalu peribadi dan sengaja menawarkan diri sebagai usaha untuk memenangkan 'insan yang diragui' itu.Manusia boleh membuat pelbagai tafsiran tetapi saya yakin dengan keputusan saya untuk tidak sesekali menarik diri dalam pertandingan ini. Yakinlah, bahawa 'Perjuangan Rakyat' mesti ditegakkan jika mahu melihat UMNO terus relevan sebagai parti yang memperjuangkan rakyat secara keseluruhan bukannya semata-mata golonngan elit yang bermaharajalela dengan kekayaan yang dikaut hasil keperitan rakyat.

Kepada Azli Shukri,
Walaupun saudara pernah menyatakan sokongan terbuka kepada Mukhriz namun saya amat berkeyakinan ia mungkin akan jadi sebaliknya pada masa yang berkenaan. Insya Allah. Terima kasih atas pautan blog saya dalam blog saudara. saya amat menghargai.

Kepada Sahabat Gunung,
Isnya Allah ia akan dibuktikan secara yang terbaik. Saya sedang menggiakan usaha ke arah itu supaya umum mengetahui nilai keikhlasan saya yang sebenar untuk bertanding bagi jawatan ini. Saudara doakan saya berjaya. Terima kasih.

Kepada Putra Revolusi,
Bercakap soal wang seperti yang saudara nyatakan mungkin benar dan mungkin tidak. Ia diukur melalui cara ia disalurkan. Pengalaman saya sebagai wakil rakyat penggal lalu banyak mengajar saya tentang 'Bila Wang Bersabda'. Allah Maha Mengetahui...


Terima kasih.

WaShad said...

Salam saudara Dato.
Buat masa sekarang saya suka jika sekiranya Dato Mukriz menerajui Pemuda UMNO, walaubagimanapun saya faham sebagai ahli biasa, saya tidak mempunyai kuasa memilih kerana hak itu nanti hanya kepada ketua pemuda bahagian dan wakil ke pemilihan, oleh itu saya merasakan bahawa kaedah pemilihan dlm UMNO tidak 'dgn cara terbaik'. Walaupun saya suka Dato Mukriz namum saya sedar bahawa setiap org mempunyai kelebihan dan kekurangan oleh itu saya pasti akan menerima sesiapa shja yg bakal terpilih. Saya menyokong hasrat dato dan amat senang hati bila dato memahami kehendak pemuda diakar umbi dlm bidang ekonomi, tapi sedikit pertambahan yg ingin saya cadangkan sekiranya dato nanti menjadi ketua saya, iaitu mengalakkan mereka yg telah berjaya (tidak hanya bergantung kepada GLC), turun membantu mereka dibawah, di setiap cawangan ataupun sekurang2nya di setiap kawasan peti undi agar ahli pemuda mempunyai peluang memulakan langkah pertama dlm memajukan diri dlm bidang ekonomi. Saya masih ingat usul2 yg dibawa oleh cawangan ke mesyuarat bahagian saya tahun lepas, 70^ dr usul ekonomi mgharapkan ada usaha dr peringkat bahagian membantu ahli di cawangan.
Akhirkata.. Selamat Berjaya..
Ahli 02428490 bhgn Machang, Klntan

Anonymous said...

salam perjuangan,,

jika hasrat rakyat tidak diterjemahkan oleh perwakilan yang hadir untuk mengundi KPUM. maka tidak akan berlaku perubahan yang diimpikan kerana :

1. "wang bersabda",
2. kronisme dan nepotisme
3. gengsterisme

ingatlah, umno perlukan perubahan kerana kami (rakyat) mahu melihat :

1. kepimpinan baru yang dapat menjenamakan umno dengan nafas baru yang lebih segar.
2. Pemimpin lama, yang ada hubungan keluarga berundur dan rasuah politik dihapuskan.
3. Demokrasi tanpa kekangan kuku besi yang diterjemahkan melalui kuasa kerajaan.

sedarlah, pemimpin muda (KJ) yang ada hari ini lebih gelojoh dan rakus daripada pemimpin-pemimpin muda yang tersungkur dan hancur sebelum ini.

Sedarlah, kita orang kampung mesti melahirkan pemimpin yang lahir dari akar umbi yang ada kebijaksanaan, luas pengalaman dan terpelajar. Bukan hanya berani melaungkan keberanian tetapi berani ke hadapan menyatakan yang hak dan yang batil serta menjadi benteng pertahanan kepada "suara dan perjuangan rakyat".

-zam-