Wednesday, October 22, 2008

Temui Saya Secara Langsung Malam Ini Di Astro AWANI...

Salam Perjuangan Rakyat,

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Astro AWANI yang bersetuju memberi undangan untuk saya muncul secara langsung di dalam Slot Atma Asia Khas (Diskusi UMNO) yang akan dihoskan oleh Suhaimi Sulaiman.

Berikut butir-butir program:

Tarikh : 22hb Oktober, Rabu

Topik : Pemilihan UMNO

Masa : 9.00 Malam – 9.30 Malam (Siaran Langsung)

Lokasi : Studio Astro AWANI, Bursa Malaysia, Kuala Lumpur

Temui saya malam ini untuk mendengar sendiri diskusi mengenai agenda perjuangan rakyat dan lain-lain perkara yang berkaitan yang cuba saya bawa demi kelangsungan politik UMNO.

Sunday, October 19, 2008

Keputusan Akhir Persidangan UMNO Bahagian Padang Besar 2008

Assalamu'alaikum wbt dan Salam Bloggers,

Saya ingin merakamkan setinggi ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua Perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar yang telah bersidang semalam (18 Oktober 2008). Persidangan yang berakhir jam 11.55 malam telah menyaksikan pertandingan sengit untuk semua jawatan penting termasuk jawatan ketua bahagian, timbalan ketua bahagian dan naib ketua bahagian,
Saya sendiri telah dicabar sengit dalam pertandingan dua penjuru. Lawan saya kali ini ialah YB Dato' Seri Azmi bin Khalid (Ahli Parlimen Padang Besar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC) Namun begitu,para perwakilan sekali lagi telah memberikan mandat kepada saya untuk meneruskan kelangsungan perjuangan rakyat.Dalam pertandingan yang menentukan hidup mati karier politik saya ini,saya telah mendapat kelebihan 19 undi berbanding lawan saya dari jumlah keseluruhan 503 perwakilan yang layak mengundi.
Saya juga mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada Saudara Md.Nor Aziz dan Senator Dato' Wan Nordin Che Murat yang berjaya memenangi jawatan yang mereka tandingi. Kepada semua AJK UMNO Bahagian Padang Besar yang telah dipilih, saya mengharapkan kita dapat menjalinkan kerjasama terbaik demi memastikan UMNO Padang Besar akan menjadi contoh terbaik kepada semua. Berikut saya paparkan keputusan penuh tiga jawatan penting dan AJK Bahagian serta G7 untuk tatapan semua.

Pengerusi Tetap
1) Senawi Mat Saman (Menang tanpa bertanding)

Timbalan Pengerusi Tetap
1) Shafie Derani

Ketua Bahagian
1) Datuk Zahidi Zainul Abidin (penyandang) 261 undi
2) Dato' Seri Azmi Khalid 242 undi
majoriti 19 undi


Timbalan Ketua Bahagian
1) Md. Nor Aziz 271 undi
2) Tuan Haji Khairi Hassan(penyandang) 232 undi
majoriti 39 undi

Naib Ketua Bahagian
1) Wan Nordin Che Murat 259 undi
2) Azizan Sulaiman (penyandang) 244 undi
majoriti 15 undi


Bagi jawatan AJK Bahagian hanya 20 orang berjaya dipilih dari jumlah 76 calon yang menawarkan diri.
Berikut keputusan akhir pemilihan bagi jawatan AJK UMNO Bahagian Padang Besar

1) Mansor Jusoh
2) Yazid Mat
3) Khalid Bulat
4) Mat Rawi Kassim
5) Ismail Daud
6) Narla Dan
7) Sabry Ahmad
8) Shukur Sultan
9) Johari Kadir
10)Khairul Akhbar
11)Aziz Ariffin
12)Ali Ismail
13)Suraya Azmi
14)Zulkarnain Zainul Abidin
15)Ku Shahrum Ku Bakar
16)Zaini Meh
17)Jamsari Jamaluddin
18)Yaakub Man
19)Che Din Che Ishak
20)Zulkafli Osman

Manakala mereka yang telah dipilih untuk menjadi Perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar (G7) ke Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur seperti berikut:

1) Khalid Bulat
2) Sabry Ahmad
3) Mat Rawi Kassim
4) Ismail Daud
5) Aziz Ariffin
6) Mansor Jusoh
7) Shukur Sultan

Pemeriksa Kira-Kira
1) Wan Azmi
2) Mat Isa Seman

UMNO Bahagian Padang Besar juga secara sebulat suara telah mencalonkan Dato' Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Mohd.Yassin masing-masing untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO serta Dato' Seri Shahidan Kassim (sebulat suara), Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn danDato' Seri Syed Hamid Syed Jaafar Albar untuk jawatan Naib Presiden UMNO setelah dijalankan pengundian.

Saya tertarik dengan maksud dan persoalan yang dicungkil oleh salah seorang perwakilan yang mengambil bahagian dalam ucapan penangguhan dalam genre pantun yang cukup menarik.Semoga semua yang berkenaan mengambil iktibar terbaik selepas membaca pantun ini.Terima kasih kepada saudara Ab.Rahman bin Abdullah dari UMNO Cawangan Ngulang dalam DUN Mata Ayer.

Ke Pulau Tioman pergi berkelah,
Bekal dibawa dalam dulang;
Saya Ab.Rahman bin Abdullah,
Perwakilan dari Cawangan Ngulang.

Akar serapat daun beringin,
Buat ramuan mandi pagi;
Kalau dapat penghawa dingin,
Rasa selesa mesyuarat nanti.

Negeri Perlis Indera Kayangan,
Banyak ada penyanyi dan biduan;
Tidak bererti (kita) mendapat kemenangan,
Kalau kita tiada perpaduan.

Banyak terdapat penyanyi dan biduan,
Biduan tersorok di tepi hutan;
Kalau kita tiada perpaduan,
Rosaklah parti, hilanglah kekuatan.

Anak Benggali menebang kayu,
Kayu dibuat titi-titian;
Amat rugi Orang Melayu,
Kalau pemimpin berdengki-dengkian(berbenci-bencian)

Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada saya untuk terus memimpin UMNO Bahagian Padang Besar. Doa kalian amat saya dambakan demi kelangsungan perjuangan rakyat.Terima kasih.

Zahidi Zainul Abidin

Friday, October 17, 2008

PERSIDANGAN PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN PADANG BESAR 2008

Salam Perjuangan dan Salam Persidangan,
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Bersidang kepada semua Perwakilan UMNO yang terpilih untuk menghadiri Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar pada tahun ini yang dijangka diadakan esok (18 Oktober 2008) bertempat di Dewan Sri Jerneh, SMK Dato' Jaafar Hassan, Bukit Ketri.
Semoga segala akan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Kerjasama semua pihak amatlah ditagih demi memastikan persidangan ini dapat diselesaikan mengikut jadual. Kepada yang akan bertanding untuk semua jawatan yang berkenaan juga diharapkan dapat mematuhi peraturan dan tata etika parti yang telah digariskan supaya semua pihak dapat menerima sebarang keputusan dalam pemilihan ini nanti.
Harapan saya agar misi untuk memartabatkan UMNO berlandaskan motto 'Perjuangan Rakyat' akan dapat diterima khususnya oleh ahli-ahli UMNO Bahagian Padang Besar. Semoga Allah S.W.T merestui perjalanan persidangan esok.
Sekian dan terima kasih.

Monday, October 13, 2008

Tahniah!

Alhamdulillah, semalam telah berakhir persidangan yang melibatkan tiga sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Padang Besar tanpa sebarang masalah yang besar dan saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada calon yang menang dalam pemilihan. Semoga mandat yang diberikan oleh para perwakilan akan memberi kekuatan kepada kita untuk menjana kekuatan UMNO khususnya dalam Bahagian Padang Besar selepas ini. Kepada Perwakilan Pemuda UMNO Padang Besar yang mencalonkan saya untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya rakamkan jutaan terima kasih atas pencalonan tersebut. Semoga Allah membalas jasa baik anda.

Gambar Sekitar Perasmian Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Padang Besar.






'Ke Arah Memartabatkan Perjuangan Rakyat, UMNO Dari Rakyat Untuk Rakyat'

Sunday, October 12, 2008

Selamat Bersidang

Saya ingin mengucapkan selamat bersidang kepada Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Padang Besar, yang akan mengadakan mesyuarat perwakilan pergerakan masing-masing pada hari ini. InsyaAllah saya jangka dapat merasmikan ketiga-tiga mesyuarat tersebut. Kepada semua perwakilan saya ingin berpesan agar saudara saudari sekalian dapat menunaikan tanggungjawab anda sebaik mungkin.

BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT

Datuk Zahidi Zainul Abidin

Thursday, October 9, 2008

Keputusan PM pastikan Umno terus relevan

Muda Mohd Noor & Abdul Rahim Sabri | Oct 9, 08 10:53am MALAYSIAKINI

Pengganti Pak Lah

Walaupun menyambut baik keputusan perdana menteri itu, timbalan ketua perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Umno akan menjadi lebih kuat bergantung kepada siapa pengganti Abdullah.

"Jika pengganti Pak Lah lebih baik daripada beliau, Umno akan menjadi lebih kuat tetapi jika sama Umno tidak akan menjadi kuat.


"Kita kena tengok dahulu kepimpinan Najib sebagai presiden dan perdana menteri," katanya.


BERITA SELANJUTNYA

Tuesday, October 7, 2008

Saya berpendapat rencana yang saya paparkan ini dipetik dari akhbar Mingguan Malaysia amat menarik perhatian untuk kita semua renungi bersama. Walau pun penulisannya agak panjang namun saya berharap tuan dan puan luangkanlah sedikit masa untuk membaca dan memberi komen untuk rencana ini. Rencana ini ditulis oleh Mufti terkenal di Malaysia iaitu Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 November 2006 menggantikan Datuk Alim Panglima Mat Jahaya Hussin. Beliau akan ditamatkan kontrak lebih awal berkuatkuasa penghujung bulan Oktober ini.

Mohd. Asri yang berkelulusan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Pengajian Hadis dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) merupakan antara mufti termuda di negara ini.

Beliau yang dilahirkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pernah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1427 peringkat negeri Perlis sewaktu berkhidmat sebagai pensyarah Pengajian Islam di USM.

RENCANA
ARKIB : 05/10/2008


Tanggungjawab mencari pengganti yang berwibawa

Membaca surat Abu Bakr al-Siddiq tentang siapakah pengganti selepas kewafatannya sepatutnya membawa seseorang pemerintah insaf bahawa soal mencari pengganti ini adalah perkara besar yang akan mengundang sama ada reda atau murka Allah di akhirat nanti. Ia bukan soal melepaskan bebanan semata.

Jawatan pemerintahan pula, bukanlah harta rampasan perang yang boleh dibahagi-bahagikan begitu sahaja. Abu Bakr al-Siddiq pada penghujung hayatnya, menulis surat mencadangkan penggantinya. Dalam surat tersebut beliau menyatakan seperti berikut: “Bismillah al-Rahman al-Rahim. Inilah apa yang dipesan oleh Abu Bakr bin Abu Quhafah di waktu akhir hayat di dunia ini, sedang keluar darinya, dan permulaan tempoh di Akhirat, sedang masuk ke dalamnya. Di kala seperti ini, seseorang yang kafir akan beriman, seseorang pendusta akan bercakap benar. Maka aku -dalam keadaan begini- melantik pemerintah kamu selepasku ini ‘Umar bin al-Khattab. Maka dengar dan taatlah kepadanya. Aku tidak akan mengurangkan sedikit kebaikan pun buat Allah, rasul-Nya, agama-Nya, diriku dan kamu. Sekiranya ‘Umar berlaku ‘adil, maka itu sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia sebaliknya, maka setiap individu berdasarkan apa yang dikerjakan. Sedangkan aku inginkan kebaikan dan tidak pula aku tahu perkara yang ghaib. “Nanti orang-orang zalim akan mengetahui di mana kesudahan mereka” Wa al-Salam ‘alaikum wa rahmatulLah”. (al-Sayuti, Tarikh al-Khulafa, 32, Beirut: Dar al-Fikr). Surat ini menggambarkan betapa Abu Bakr al-Siddiq membuat cadangan penggantinya atas asas tanggungjawab di hadapan Allah tanpa sebarang kepentingan diri. Beliau juga memikirkan masa depan umat di bawah penggantinya, juga perasaan gerunnya kepada Allah tentang apa yang akan dilakukan oleh penggantinya. Padahal pengganti yang dicadangkan itu ialah insan yang terbaik bagi umat ini selepas dirinya. Pun begitu, ayat amarannya jelas agar keadilan mestilah ditegakkan dan dia memilih pengganti atas keyakinan bahawa penggantinya dapat menjamin pelaksanaan keadilan yang dikehendaki Allah, bukan menjamin kepentingan dirinya atau kelompoknya.

Politik pada zaman pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah agak mencabar. Khalifah terpaksa mencadangkan penggantinya yang dapat memastikan perjalanan kerajaan terus stabil. Walaupun kelihatannya ada unsur meminggirkan suara syura rakyat dalam pemilihan khalifah sehingga menyebabkan jawatan itu diwarisi secara dinasti bagi keturunan Bani Umayyah dan dinasti-dinasti selepas itu juga melakukan hal yang sama. Namun risiko membuka jawatan khalifah untuk dibuat pemilihan terbuka juga adalah besar. Pertarungan merebut jawatan numbor satu dalam sesebuah kerajaan jika tidak dikawal dengan penuh sistematik dan kemas akan menatijahkan ketidakstabilan negara yang tiada kesudahannya. Di samping, kelemahan sistem pewarisan takhta juga jelas. Apatah lagi ia bercanggah dengan ruh Islam. Sementara, membuka peluang syura kepada semua rakyat atau Ahl al-Hal wa al-‘Aqd memerlukan negara yang stabil sistemnya untuk mengawal perjalanan pemilihan agar tidak menimbulkan huru hara. Syura itu untuk kemaslahatan rakyat dan negara. Apabila ia dilaksanakan, hendaklah dipastikan natijahnya membawa kepada kebaikan dan kemaslahatan. Jika hanya membawa kepada kerosakan, seperti jika suara ramai dijadikan ukuran dalam menentukan kepimpinan dalam sesuatu komuniti yang rosak agama dan akhlaknya, kemungkinan besar kesan pemberian hak memilih itu tidak membawa kemaslahatan. Mungkin akan dipilih pemimpin yang buruk nilai agama dan akhlaknya. Suara ramai dihormati, namun jika suara ramai itu mengundang keburukan, maka ia tidak patut diterima pakai.

Keistimewaan

Antara keistimewaan yang Allah kurniakan kepada Kerajaan Bani Umayyah adalah wujud penasihat-penasihat yang terdiri daripada kalangan para ulama yang luas keilmuannya dan tajam serta tangkas pemikirannya. Tokoh yang paling menonjol ialah Rajak bin Haywah. Beliaulah tokoh yang sering mendampingi ‘Umar bin Abd al-‘Aziz dan memberikan pandangan-pandangan yang tangkas, bijak dan diredai Allah dalam bidang politik dan kehidupan. Sulaiman bin ‘Abd al-Malik merupakan khalifah sebelum ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Sebelum Sulaiman meninggal, dia telah meminta nasihat daripada Rajak bin Haywah tentang siapakah yang wajar menjadi penggantinya. Rajak bin Haywah menjawab: “Antara yang dapat memelihara khalifah dalam kuburnya adalah apabila dia melantik orang yang soleh memerintah kaum Muslimin”. Sulaiman sendiri akhirnya mencadangkan seorang yang bukan saudara kandung, juga bukan anaknya tapi sepupunya ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Apabila Sulaiman bertanya pendapat Rajak bin Haywah, jawabnya: “Saya berpendapat dia seorang yang baik, Muslim yang mulia, sukakan kebaikan dan sukakan orang- orang yang baik. Cuma aku bimbang saudara-saudaramu tidak bersetuju dengannya”. Kata Sulaiman: “Nampaknya begitulah”. Lalu Sulaiman bin ‘Abd al-Malik mengambil langkah politik agar cadangan itu mendapat sokongan kaum keluarganya yang mencengkam pemerintah Bani Umayyah ketika itu dengan mencadangkan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz sebagai khalifah, sementara adik Sulaiman iaitu Yazid bin ‘Abd Malik sebagai timbalan (Waliy al-‘Ahd). Dia menulis surat rasminya seperti berikut: “Bismillah al-Rahman al-Rahim, ini surat Sulaiman bin ‘Abd al-Malik untuk ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Aku telah melantiknya menjadi khalifah selepasku, dan selepasnya Yazid bin ‘Abd al-Malik. Kamu semua dengar dan taatlah kepadanya (‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz). Jangan kamu berselisih pendapat nanti musuh-musuh akan bertindak ke atas kamu” (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/207, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Walaupun apa yang dipertikaikan, Sulaiman bin ‘Abd al-Malik tetap berjasa dalam sejarah kerena tindakan berani yang mengenepikan kebiasaan dan melantik calon yang agak jauh menjadi khalifah telah membawa rahmat kepada dunia Islam. ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah menjadi khlaifah yang sangat adil dan soleh. Dalam tempoh dua tahun memerintah, dia telah mencatatkan sejarah pemerintahnya dengan tinta emas bertatah berlian. Sulaiman bin ‘Abd Malik walaupun tidak setanding ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, namun sejarah akan mengenangnya kerana dia yang memberi laluan tersebut kepada khalifah yang adil itu. Ini semua kerana dia menerima nasihat Rajak bin Haywah bahawa melantik pengganti yang soleh merupakan amalan yang dapat memelihara seorang khalifah apabila dia menemui Allah nanti.

Seseorang bapa yang ingin meninggalkan rumahnya akan memastikan isteri atau anaknya boleh diharapkan agar harta benda dan keselamatan rumah terjamin. Rakyat dan negara tentu lebih berharga dari rumah individu dan kemusnahan sebuah negara tentu lebih besar kesannya daripada kemusnahan sebuah rumah. Memastikan agar negara yang diwarisi dalam keadaan sejahtera dan selamat adalah tanggungjawab yang penting. Kemusnahan sesuatu kaum atau masyarakat yang dirahmati Allah adalah disebabkan generasi yang mewarisi bangsa berkenaan menyeleweng dari landasan yang diredai Allah. Allah mengingatkan kita mengenai hal ini dalam al-Quran dengan firman-Nya: (maksudnya) “Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) dalam al-Kitab (Al-Quran) ini tentang (Nabi) Idris; sesungguhnya dia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.Mereka itulah sebahagian daripada Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat kepada mereka daripada keturunan (Nabi) Adam, dan dari keturunan mereka yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama (Nabi) Nuh, dan daripada keturunan (Nabi) Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil (Nabi Ya‘kub)- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis. Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun”. (Surah Maryam, ayat 56-60).

Dua asas

Seperti yang sering saya sebutkan, dalam Siyasah Syar‘iyyah (Politik Islami) dua asas penting diambil kira dalam memberikan amanah atau tugasan khususnya politik kepada seseorang individu. Asas itu adalah al-Quwwah dan al-Amanah atau Kemampuan dan Amanah. Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar‘iyyah fi Islah al-Ra‘iy wa al-Ra‘iyyah: “Hendak dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Ini seperti yang Allah firmankan (maksudnya0: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26) Kata Raja Mesir kepada Yusuf a.s :(maksudnya:“Sesungguhnya kamu hari ini menjadi orang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai (Surah Yusuf: 54). Firman Allah dalam menyifatkan Jibril: (maksudnya) “Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai ‘arsy, yang ditaati lagi dipercayai (Surah al-Takwir ayat 19-21). Katanya Ibn Taimiyyah lagi: “Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai-bagai jenis peperangan...al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia. Inilah tiga ciri amanah yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia, firman Allah: (maksudnya): “Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Barang siapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir (Surah al-Maidah: ayat 44)".

Krisis kepimpinan dalam masyarakat umat Islam hari ini adalah berpunca kerana ada pihak-pihak yang hanya menumpukan di sudut al-Quwwah iaitu kemampuan atau kewibawaan atau karismatik seseorang tokoh dalam politik, tetapi melupakan sudut amanah yang membabit mengenai pegangan agama atau kesolehan seseorang pemimpin. Sehingga akhirnya, ada yang memiliki kemampuan kepimpinan politik, tetapi kontang dari nilai-nilai takwa sehingga mudah terjerumus ke dalam kancah penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Sementara, ada pihak yang lain begitu memberikan perhatian kepada soal kekuatan pegangan agama sehingga mengabaikan soal kemampuan dalam kepimpinan politik. Ini juga menyebabkan ramai orang yang atas kepercayaan orang ramai tentang pegangan agama mereka lalu diberikan jawatan politik, akhirnya mereka gagal menguruskannya. Bukan kerana tidak amanah, atau tidak takutkan Allah, tetapi kerana tidak mempunyai ciri al-Quwwah atau kemampuan dalam menguruskan kepimpinan yang diamanahkan kepadanya. Sebab itu Rasulullah SAW tidak memberikan jawatan kepada sahabaT-sahabat yang tidak berkemampuan sekalipun dia seorang yang soleh. Seperti sabda baginda kepada Abu Zar r.a.: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).Dalam riwayat al-Imam Muslim yang lain Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim”. Walaupun Abu Zar terkenal baik dan soleh, namun itu belum cukup untuk melayakkannya memimpin.

Tanggungjawab rakyat dan kepimpinan yang memiliki kuasa untuk memastikan bahawa jawatan yang menentukan hala tuju masyarakat dan umat itu tidak akan jatuh melainkan ke tangan mereka yang benar-benar layak. Jangan jatuh ke tangan yang berkemampuan dan wibawa, tapi tidak amanah. Jangan juga jatuh ke tangan yang amanah, tapi tidak berkemampuan melaksanakan bebanan tugas.

Sunday, October 5, 2008

RENCANA

MINGGUAN MALAYSIA (O5 OCT 2008)

Tegakkan perjuangan rakyat

MINGGUAN: Apakah rasional di sebalik keputusan Datuk bertanding jawatan Ketua Pemuda?

ZAHIDI: Saya menawarkan diri untuk bertanding kerana melihat sokongan generasi muda terutama daripada kalangan pemuda Melayu kepada UMNO dan BN semakin berkurangan. Antara sebab-sebabnya pertama, berlakunya perbezaan pendapat antara bekas Perdana Menteri dengan Perdana Menteri sehingga membawa kepada kritikan-kritikan terhadap Perdana Menteri yang menjejaskan UMNO.

Akibatnya dalam pilihan raya umum lalu keyakinan rakyat terutama di kalangan orang Melayu terhadap parti itu terjejas. Untuk menyelesaikan perkara ini ia harus dilakukan melalui Pemuda UMNO.

MINGGUAN: Tetapi mungkin ada yang beranggapan Datuk tidak layak bertanding kerana berada di luar lingkungan Pemuda?

ZAHIDI: Tidak, saya daripada Pemuda juga. Saya berada empat penggal dalam kepimpinan Pemuda iaitu dua penggal sebagai Naib Ketua Pemuda negeri, satu penggal sebagai Ketua Pemuda Negeri dan satu penggal sebagai Exco Pemuda. Jadi maknanya baru penggal lepas saya meninggalkan Pemuda. Tetapi apabila hari ini saya melihat perjuangan Pemuda gagal menarik sokongan maka saya menawarkan diri. Saya nampak kita perlu melakukan perubahan dalam barisan Pemuda iaitu membawa `tag line’ sebagai perjuangan rakyat. Pemuda hari ini dikatakan berada dalam kelas berbeza. Mereka tidak mewakili semua golongan pemuda. Akhirnya golongan muda memilih parti lain kerana mereka menganggap parti lain itu bekerja menyampaikan suara mereka. Kita lihat sejak kebelakangan ini Pemuda tidak menggambarkan ia sebagai perjuangan rakyat.

Sebagai contohnya, apabila harga barang naik, apa Pemuda buat? Begitu juga dengan pengangguran apa Syarikat Milik Kerajaan (GLC) lakukan? Macam mana Pemuda hendak menyelesaikan masalah itu, begitu juga keluhan-keluhan pemuda di kampung-kampung. Apakah perjuangan kita dalam membela nasib mereka? Begitu juga di peringkat antarabangsa, apa Pemuda lakukan apabila berhadapan dengan isu-isu seperti hubungan dengan Singapura. Dalam perjuangan Islam, apa perjuangan Pemuda dalam soal ini? Semua ini kita tidak nampak dilakukan oleh Pemuda UMNO. Sebagai pemimpin yang berasal daripada grassroot saya hendak menggunakan pengalaman yang dimiliki bagi membela Pemuda dan saya yakin melalui cara tersebut ia akan dapat menarik kembali sokongan golongan muda.

MINGGUAN: Bolehlah Datuk jelaskan mengenai tag line perjuangan rakyat?

ZAHIDI: Saya ingin membawa Pemuda menjurus kepada perjuangan rakyat iaitu ingin menunjukkan bahawa pergerakan itu membela rakyat. Ketika ini terdapat terlalu banyak isu yang memerlukan Pemuda untuk bertindak, ia termasuklah juga dalam isu-isu yang melibatkan agama Islam. Jika Pemuda tidak memperjuangkan isu-isu seumpama itu, Pemuda akhirnya akan dilihat hanya memikirkan diri dan kelompok mereka sahaja.

Apabila saya menawarkan perjuangan rakyat, saya tidak mahu melihat Pemuda ini lebih tertumpu ke arah material.

MINGGUAN: Tetapi dalam perjuangan UMNO sekarang, orang banyak mengaitkan ia dengan perjuangan yang mementingkan materialistik?

ZAHIDI: Pertama sekali, pemimpin itu sendiri harus memberi contoh. Kalau golongan muda melihat bahawa pemimpin itu boleh menyediakan material kepadanya maka dia akan menyokong pemimpin tersebut maka ini akan menyebabkan pemimpin yang kurang menyediakan material tidak akan mendapat sokongan. Inilah masanya untuk Pemuda membuktikan bagaimana seharusnya mereka perlu melakukan perubahan iaitu daripada Pemuda yang asyik memikirkan soal material kepada Pemuda yang mementingkan perjuangan. Kalau mereka memberikan sokongan kepada perjuangan rakyat maknanya mereka tidak memerlukan material sebaliknya mahukan perubahan. Maka melalui azam itu ia sudah tentu mereka akan memberi peluang kepada saya. Tetapi kalau mereka tidak mahu perubahan dan mahu kekal seperti keadaan sekarang, maka kita terpaksa menerima hakikat bahawa saya tidak layak.

MINGGUAN: Cabaran utama yang sedang menanti bakal Ketua Pemuda UMNO yang baru ialah menarik semula sokongan golongan muda kepada UMNO dan BN, apa agenda Datuk dalam soal ini?

ZAHIDI: Apa yang paling penting, Pemuda ini perlu diserapkan dengan idealisme perjuangan. Kita perlu mengadakan perubahan minda. Kalau mereka yakin kepada idealisme perjuangan kita, mereka pasti akan memberi sokongan. Tetapi sekarang bagaimana mereka hendak memberi sokongan kepada Pemuda apabila mereka melihat kita berada di kelas berbeza dan sukar didekati.

Contohnya, kebanyakan pemimpin Pemuda tidak faham soal kesusahan. Mereka tidak memahami bagaimana ada ahli Pemuda yang menghadapi masalah untuk membeli susu anak atau menyediakan belanja persekolahan anak-anak. Tetapi bagi saya yang datang daripada golongan grassroot, kita merasai perkara itu. Kita memahami Pemuda. Oleh itu kalau kita hendak memperjuangkan nasib semua Pemuda, saya boleh menjadi alternatif.

Selain itu, program-program yang kita buat harus memikirkan mengenai pembelaan kepada Pemuda itu sendiri, contohnya peluang pekerjaan dan keusahawanan yang anggota Pemuda perlu perolehi. Apabila mereka menghadapi masalah bagaimana kita hendak mendengar masalah mereka.

MINGGUAN: Ketika ini sokongan orang Melayu kepada UMNO agak merosot, oleh itu bagaimana kita hendak mengatasi masalah ini?

ZAHIDI: Dari segi mempertahankan hak Melayu, orang ingin melihat bagaimana Pemuda melakukannya tetapi malangnya orang Melayu tidak nampak perkara itu. Begitu juga isu-isu hak keistimewaan orang Melayu seperti pendidikan, peluang pekerjaan dan perniagaan. Oleh itu perjuangan Pemuda harus menampakkan kita membela dan mempertahankan hak orang Melayu.

Begitu juga dalam soal isu agama, bagaimana kita hendak mempertahankannya dengan cara yang baik tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak. Jadi kita kena bijaksana. Bagi saya sendiri kita perlu kembali kepada perjuangan untuk mempertahankan hak orang Melayu dan agama kita. Atas sebab itulah saya katakan bahawa Pemuda tidak harus menjadi medan untuk menunjukkan pengaruh sesiapa.

MINGGUAN: Adakah Datuk bersetuju bahawa Pemuda harus kembali menjadi kumpulan pendesak apabila berhadapan dengan sesuatu isu?

ZAHIDI: Kalau kita lihat sejarah ramai pemimpin Pemuda berjaya dalam perjuangan kerana mereka adalah seorang pejuang dan bukannya dinaungi oleh sesiapa. Jika seseorang calon ketua pemuda itu dinaungi oleh orang-orang tertentu bagaimana Pemuda hendak berjaya. Oleh itu Pemuda harus mempunyai perjuangan sendiri, kalau perlu menjadi pengikut yang setia, kita harus menjadi pengikut yang setia. Tetapi dalam masa yang sama Pemuda juga boleh menjadi pendesak apabila berhadapan dengan isu-isu yang bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh Pemuda.

Apa yang penting mereka membawa satu idealisme perjuangan untuk semua golongan, barulah golongan muda akan merasai bahawa kita membawa satu perjuangan yang perlu mereka sokong. Contohnya, saya pernah menjadi pemimpin pelajar, saya cuba menerap satu perjuangan bagi membela nasib golongan bawahan. Kalau perjuangan kita diterima kita akan terus berjuang, kalau orang tidak terima kita tetap berjuang mengikut cara kita di platform yang diterima. Ertinya, kita tidak akan menyesal kalah atau menang, diterima atau tidak apa yang penting perjuangan yang dibawa harus diteruskan.

MINGGUAN: Sejauh mana Datuk yakin bahawa ‘konsep’ perjuangan yang dibawa akan diterima?

ZAHIDI: Kita tidak harus menjadikan Pemuda sebagai medan untuk membalas jasa mana-mana pihak atau perebutan material. Sebab itulah saya tidak bertanding di peringkat Majlis Tertinggi (MT). Kalau tidak diterima di peringkat Pemuda mungkin satu hari nanti saya akan bertanding di peringkat MT tetapi apa yang saya lihat Pemuda perlu berubah iaitu diserapkan idealisme perjuangan UMNO. Ini jelas apabila dulu kita dapat sokongan sekarang kita tidak mendapat sokongan, oleh itu kita perlu kembali menawarkan khidmat kita.

MINGGUAN: Ada pendapat bahawa Ketua Pemuda tidak perlu memegang jawatan kerajaan bagi membolehkan ia memberi tumpuan kepada tugasnya di peringkat parti?

ZAHIDI: Pandangan seumpama itu tidak betul kerana Ketua Pemuda perlu berada dalam jemaah menteri. Sebab Kabinet adalah satu badan yang paling berkuasa. Jangan melihat apabila seorang Ketua Pemuda berada dalam kerajaan ia lebih banyak berkaitan soal mudah memberi kontrak.

Sebagai contohnya, ketika saya dalam Pemuda dulu kita ada Yayasan Gerak Bakti iaitu yayasan pelaburan am Pemuda. Kenapa ia tidak diwujudkan semula? Ini kerana melalui yayasan tersebut ia akan membantu ramai anggota Pemuda. Satu lagi, apa peranan Pemuda dalam memastikan GLC menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda. Begitu juga dalam bidang usahawan kenapa Pemuda tidak mendesak supaya diwujudkan kuota untuk golongan muda dan kita juga perlu bertanya kenapa dalam soal Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pemuda tidak menggesa supaya Pemuda di peringkat bahagian diberikan kuota untuk menentukan siapa yang harus menerimanya. Kalau semua ini berjaya diperjuangkan oleh Pemuda sudah pasti pergerakan itu dilihat melakukan perjuangan yang menyeluruh.

MINGGUAN: Apa pesanan Datuk kepada ahli Pemuda sebelum mereka menentukan ketua pemuda?

ZAHIDI: Kalau mereka hendakkan satu idealisme yang memperjuangkan nasib semua golongan, mereka haruslah memberi peluang kepada saya. Selain itu jika Pemuda mahukan pergerakan itu kembali mendapat sokongan dan dihormati, mereka perlu memastikan kepimpinannya tidak dikuasai oleh sesuatu golongan sahaja, malah mewakili semua golongan.

Kalau kita mahu dihormati Pemuda itu sendiri perlu berubah bukan hanya memikirkan kepentingan diri tetapi perjuangan masa depan bangsa dan agama.