Monday, September 15, 2008

Persaingan Ketua Pemuda semakin hebat

Oleh JAMDI NASIR

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Persaingan merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO semakin hebat apabila calon-calon yang disebut-sebut akan bertanding, mula menunjukkan komitmen masing-masing.

Setakat ini, persaingan merebut jawatan yang disandang oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sejak 10 tahun lalu itu bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Terbaru di Kudat, Kota Kinabalu, Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan mengumumkan keputusan bertanding jawatan Ketua Pemuda pergerakan itu dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

"Ia akan diumumkan di Rembau," katanya kepada pemberita selepas majlis Sumbangan Ehsan Biro Agama Pergerakan Pemuda UMNO dengan kerjasama Pemuda UMNO Sabah dan UMNO Bahagian Kudat.

Selain Khairy, tiga lagi nama disebut-sebut akan bertanding pada pemilihan parti Disember ini ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Pada 6 September lalu, Ahli Parlimen Jerlun. Datuk Mukhriz Tun Mahathir secara rasminya telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu.

Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar pula menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan tersebut pada 2 Jun lalu dan mendapat sokongan penuh daripada Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Mohamad Khir yang juga bekas Menteri Besar Selangor pada 31 Mac lalu berkata, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO sekiranya mendapat sokongan.

Jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO akan dikosongkan ekoran keputusan Hishammuddin melepaskan jawatan tersebut pada pemilihan parti Disember ini.

Hishammuddin pada 21 April lalu, mengumumkan sedia mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden jika mendapat pencalonan daripada bahagian-bahagian parti itu.

Pengumuman beliau itu mendapat sokongan khususnya daripada pemimpin Pemuda.



Zahidi sah tawar diri tanding Ketua Pemuda Umno
14-09-2008 10:58:58 PM

PADANG BESAR: Ketua Umno bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia pada pemilihan parti Disember depan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu berkata, beliau berhasrat memulih kekuatan parti dan menjenamakan semula Pergerakan Pemuda Umno.
Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau mendakwa pergerakan itu tidak lagi mendapat sokongan padu di peringkat akar umbi seperti terbukti pada pilihan raya umum Mac lalu.

Turut bertanding merebut jawatan ketua pemuda itu yang bakal dikosongkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein ialah ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo. BERNAMA



Zahidi juga sah tanding ketua Pemuda
Abdul Rahim Sabri | Sep 12, 08 12:35pm

Ketua Umno bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainol Abidin hari ini mengesahkan menawarkan diri bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia Disember ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Zahidi berkata beliau akan membuat pengumuman rasmi mengenainya di Kuala Lumpur selepas 18 September ini.

Beliau yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis berkata, beliau mahu menawar diri bertanding jawatan tersebut bagi memulih dan menjenamakan semula pergerakan tersebut.

Katanya, ini kerana Pemuda Umno kini tidak lagi mendapatkan sokongan dari akar umbi, terutama dalam pilihanraya umum Mac lalu dan pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh bulan lalu.

Beliau mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah gagal menyelesaikan masalah yang melanda Umno sekarang.

Katanya, kelemahan perdana menteri untuk mendekatkan diri dengan mantan perdana menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), telah menghilangkan keyakinan rakyat.

'Siapa kuat'

Pergeseran antara perdana menteri dengan mantan perdana menteri itu, menurutnya, menandakan bermulanya kejatuhan Umno.

Malah, katanya, ia juga mengakibatkan parti-parti komponen Barisan Nasional turut hilang keyakinan.

Katanya, pergeseran antara Abdullah dan Dr Mahathir mungkin akan berterusan dalam Pemuda Umno melalui menantu dan anak masing-masing.

No comments: