Berikut kenyataan saya dalam edisi Malaysiakini hari ini.Laporan oleh Abdul Rahim Sabri | Apr 17, 09 12:07pm
Rakyat Perlis tidak memikirkan berhubung persoalan masalah perebutan siapa yang sepatutnya untuk memegang jawatan pengerusi perhubungan Umno negeri. Sebaliknya mereka memikirkan ketiadaan pemimpin dari Perlis dilantik menganggotai kabinet baru Datuk Seri Najib Razak, kata timbalan pengerusi perhubungan Umno Perlis. "Pemimpin Umno di Perlis langsung tidak mendapat tempat dalam kabinet Najib," kata Datuk Zahidi Zainol Abidin kepada Malaysiakini. "Rakyat kecewa. Sokongan mereka tidak dihargai. Menjadi hasrat mereka, wakil rakyat Perlis mengganggotai kabinet, sekurang-kurangnya timbalan menteri. "Kena ingat undi rakyat. (Undi) mereka minta dihargai," katanya. Umno Perlis memenangi kesemua tiga parlimen di negeri itu: Datuk Seri Azmi Khalid (Padang Besar), Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (Kangar) dan Datuk Ismail Kassim (Arau). Sebelum ini, dalam era kepemimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, dua ahli parlimen Perlis menjadi menteri penuh iaitu, Radzi dan Azmi masing-masing menteri hal-ehwal dalam negeri dan menteri sumber asli dan alam. Mengulas keinginan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mendapat jawatan pengerusi perhubungan Umno Perlis, Zahidi berkata keputusan tersebut terserah kepada Najib, sebagai presiden Umno, untuk mempertimbangkannya. "Itu masalah lama ... ia (adalah) mainan politik 'pemimpin purba' di negeri Perlis,” katanya. "Dalam usaha untuk meremajakan Umno, lebih-lebih lagi Umno dalam keadaan lemah, kepentingan peribadi letak tepi." Diminta mengulas kemungkinan krisis di Terengganu berulang di Perlis, Zahidi berkata beliau tidak nampak kemungkinan akan berlaku undi tidak percaya kepada Md Isa. Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berdepan dengan masalah pemulauan 10 ADUN BN, Selasa lalu - pada asalnya ura-ura untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya di DUN yang berakhir Rabu lepas. |
Sekian, terima kasih.