Thursday, November 13, 2008

Ucapan Terima Kasih...

Salam Perjuangan Rakyat,

AlhamduliLLah, saya memanjatkan setulus kesyukuran ke hadrat ILLahi atas limpah kurnianya yang terus memberikan saya peluang untuk turut sama bertanding bagi mengisi tempat Ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam Pemilihan UMNO 2009.

Saya bersyukur kerana masih diberi daya untuk terus menitip ulasan dalam blog saya yang terlalu biasa ini. Walaupun sudah agak lama saya tidak memblogkan diri dek kerana kesibukan yang amat sangat sepanjang dua bulan ini tetapi syukurlah sepanjang tempoh itu saya masih mampu untuk terus berdiri memanjangkan perjuangan rakyat tanpa noktah demi kelangsungan ummah. Insya Allah, saya akan terus menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan khususnya sebagai Ketua UMNO Bahagian Padang Besar.

Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada 14 UMNO bahagian yang telah mencalonkan saya bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Tanpa pencalonan ini saya mungkin takkan mampu untuk melayakkan diri bertanding bagi pemilihan kali ini.

Hanya dengan keikhlasan dan kejujuran anda yang membuatkan saya terus kuat untuk memperjuangkan rakyat kerana saya cukup sedar ia adalah penting demi mengembalikan keyakinan rakyat khususnya kepada UMNO yang kian lemah kerana tangan-tangan kotor pihak-pihak tertentu yang suka UMNO terus lemah dan dalam masa yang sama memainkan peranan untuk terus memecah-belahkan kesepaduan parti yang kita junjung ini.

Tanpa perpaduan yang berteraskan dari kesedaran mahu berubah maka kita takkan mencapai apa yang divisikan, jadi secara tuntasnya, inilah masa yang kita ada untuk mengembalikan kekuatan UMNO tanpa mengira puak atau kumpulan tertentu. Kita yang mampu merubah keadaan, tanpa semangat dan usaha yang jitu maka ia akan menjadi satu contoh perjuangan yang gagal secara 'total'. Semoga kita tidak terlalu lambat untuk semua ini.

Sekian, terima kasih.