Monday, June 29, 2009

Umno Perlis mahu kekang kemaraan Pakatan

Salam Hormat,

Berikut kenyataan saya yang tersiar hari ini dalam Malaysiakini.

Umno Perlis sedang menyusun langkah untuk mengkaji kelemahan parti tersebut dalam usaha mengekang kemaraan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Zahidi Zainol Abidin berkata, beliau sedang mengumpul maklumat dan maklum balas dari akar umbi, termasuk pimpinan Pemuda negeri.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini politik di Perlis, ekoran pertambahan mendadak jumlah cawangan PKR di negeri itu.

Jumlah cawangan PKR di negeri itu meningkatkan kepada 26 - termasuk 20 cawangan baru yang masing-masing ditubuhkan di Padang Besar dan Kangar sejak beberapa bulan lalu.

Sebahagian besar mereka yang menyertai cawangan baru itu terdiri daripada bekas ahli Umno yang keluar parti beramai-ramai kerana tidak puas hati dengan kepimpinan sekarang.

Di samping itu, beberapa cawangan baru DAP juga turut ditubuhkan di negeri itu.

"PKR dan DAP tubuh cawangan, tetapi tiada tindakan yang diambil (oleh Umno Perlis).

Rungutan ketua cawangan

"Mungkin Umno melihat Perlis hanya mempunyai tiga bahagian sahaja, sedangkan pembangkang melihat Perlis sebagai satu negeri," kata Zahidi ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga ketua bahagian Padang Besar berkata, akan berjumpa pimpinan cawangan, termasuk pemimpin Pemuda untuk mendengar pandangan dan masalah mereka.

Katanya, beliau turut menerima rungutan mengenai isu Pemuda yang tidak mendapat tempat dalam kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Menurut Zahidi, beliau juga menerima rungutan dari ketua-ketua cawangan di Perlis yang tidak dilantik menjadi ketua jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK).

Beliau menyifatkan isu tersebut "belum selesai" sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka.

Katanya, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan ketua cawangan termasuk pimpinan Pemuda dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Sekian dan terima kasih